Pages

Saturday, June 14, 2014

Anak penarik beca pelajar terbaik


Mugiyono gembira anaknya Raeni muncul sebagai pelajar terbaik jurusan ekonom di Universiti Negeri Semarang (Unnes), Jawa Tengah baru-baru ini.
JAKARTA 13 Jun - Seorang penarik beca mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat anak bongsunya muncul sebagai pelajar terbaik jurusan ekonomi di Universiti Negeri Semarang (Unnes), Jawa Tengah baru-baru ini.
yang dibesarkan oleh ayahnya, Mugiyono dalam serba kekurangan membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk dia muncul sebagai pelajar terbaik dalam bidang tersebut.
Daripada 955 pelajar lain dalam jurusan itu, Raeni dari Semarang, Jawa Tengah mengatasi teman-temannya dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif sebanyak 3.96 mata.
"Saya terlalu bersyukur. Anak perempuan saya berjaya bergelar seorang mahasiswa. Terima kasih Tuhan. Kami orang miskin. Saya tidak pernah membayangkan kemampuan untuk menghantar anak-anak saya ke universiti. Hanya dia (Raeni) seorang dalam keluarga saya yang mempunyai lulusan universiti," kata Mugiyono kepada wartawan selepas majlis konvokesyen anaknya baru-baru ini.
Raeni yang berusia 21 tahun dilahirkan pada 13 Januari 1993 dan dibesarkan oleh ayah dan ibunya, Sujamah di Kendal, Jawa Tengah.
Mugiyono hanya memperoleh pendapatan sebanyak 10,000 rupiah (RM2.72) hingga 50,000 rupiah (RM13) sehari.
Untuk menambah pendapatan keluarga, Mugiyono juga melakukan kerja sampingan sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan gaji yang di-terima sebanyak 450,000 rupiah (RM122) sebulan.
"Saya mempunyai minat dan kesungguhan (dalam pelajaran). Ketika di sekolah menengah saya juga dinamakan sebagai pelajar terbaik. Apabila membuat permohonan biasiswa untuk menyambung pengajian di Universiti Negeri Semarang, saya diterima masuk," kata Raeni.
Pengajian Raeni di Unnes dalam jurusan pengajian ekonomi dibiayai tawaran biasiswa.
"Saya berharap dapat menyambung pengajian (peringkat sarjana) di United Kingdom. Bagaimanapun saya harus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam peperiksaan TOEFL (Ujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing).
"Ketika ini jumlah markah TOEFL yang saya peroleh sekitar 477. Untuk menyambung pengajian ke luar negeri saya perlu mendapatkan markah sekurang-kurangnya 555. Jadi saya harus lebih berusaha," kata Raeni sambil memberitahu hasratnya untuk bergelar seorang profesor satu hari nanti.
Pada masa depan, Raeni merancang untuk berkunjung ke negara Jepun bagi menghadiri program pertukaran pelajar antarabangsa.
- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140614/lu_10/Anak-penarik-beca-pelajar-terbaik#ixzz34YlmR5cf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: