Pages

Monday, May 19, 2014

Perang ke atas Boko Haram dilancarkan


PARIS 18 Mei - Kerajaan Nigeria dan negara-negara jirannya berikrar untuk membentuk pakatan bagi memerangi kumpulan militan Boko Haram yang menculik lebih 200 pelajar perempuan, baru-baru ini.
Dalam pertemuan di Paris, semalam, Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan (gambar) dan rakan sejawatnya dari Benin, Chad, Cameroon dan Niger meluluskan pelan tindakan bagi memerangi kumpulan berkenaan yang bertanggungjawab ke atas kira-kira 2,000 kematian pada tahun ini.
Berdasarkan persetujuan, pelan tindakan itu melibatkan usaha penyelarasan pemantauan bagi mengesan kumpulan pelajar yang diculik dan berkongsi maklumat risikan serta bekerjasama melindungi kawasan sempadan di rantau berkenaan.
Bagi kerjasama tempoh panjang, negara-negara terlibat bersetuju melaksanakan strategi antipengganas serantau dengan sokongan teknikal dan latihan daripada Britain, Perancis, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Kesemua pemimpin negara Afrika Barat itu turut sebulat suara mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ke atas semua pemimpin Boko Haram dan satu lagi kumpulan militan Nigeria, Ansaru.
Dalam pada itu, Jonathan yang dikritik atas kelewatan beliau menangani isu penculikan kumpulan pelajar terbabit berkata, kerajaan sedang melakukan segala usaha yang terbaik bagi mengesan mangsa.
"Kami menggunakan aset seperti pesawat tentera untuk meninjau lokasi mangsa disembunyikan dan sebanyak 20,000 askar juga dikerah dalam misi berkenaan.
"Boko Haram bukan lagi kumpulan pengganas tempatan, tetapi kini dilabel sebagai pengganas al-Qaeda versi Afrika Barat dan Afrika Tengah," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_03/Perang-ke-atas-Boko-Haram-dilancarkan#ixzz327QhwSzc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: