Pages

Sunday, May 18, 2014

Mimpi ngeri 'Suneung'


SUNEUNG menyebabkan remaja-remaja Korea Selatan mengalami masalah kemurungan
KEBIASAANNYA hari Khamis minggu kedua November pada setiap tahun, sebahagian besar masyarakat di Korea Selatan sudah merasai kedinginan kerana musim luruh yang akan berakhir dan bakal tibanya musim sejuk.
Namun, lain pula cerita yang perlu dilalui setiap remaja negara yang terkenal dengan budaya K-Pop itu. Apa tidaknya, pada tarikh ini, mereka perlu menempuh sebuah peperiksaan awam yang dikenali sebagai ‘Suneung’ atau lebih dikenali sebagai 'Ujian Kemampuan Skolastik ke Perguruan Tinggi'.
Suneung merupakan sebuah ujian yang dianggap paling sukar di Korea Selatan. Malah, untuk menempuh ujian tersebut, pelajar perlu membuat persediaan peperiksaan sejak di bangku sekolah rendah.
Hal ini menyebabkan berlakunya tekanan melampau kepada setiap pelajar sehingga mencetuskan masalah sosial seperti kemurungan. Sisi lain, ibu bapa turut menghantar anak-anak ke kelas tuisyen dan kursus-kursus motivasi supaya mereka memperolehi keputusan cemerlang.
Pada saat ini, kehidupan sosial dan komunikasi dalam kalangan remaja-remaja di Korea Selatan dilihat terputus dari dunia luar. Selain itu, tiada lagi istilah untuk bermain di taman permainan atau rekreasi, keluar berjalan-jalan bersama teman, bersukan, beriadah mahupun melancong atau meluangkan masa bersama keluarga.
Yang wujud dalam fikiran setiap calon peperiksaan hanyalah harapan untuk melalui Suneung dengan mendapat keputusan cemerlang. Malah, jika gagal, tiada lagi istilah ‘masa depan yang cerah’ dijanjikan kerajaan kepada mereka dalam menikmati kehidupan sosial lebih baik ketika usia dewasa.
Bayangkan, mereka perlu bangun pada pukul 6 pagi setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran selama dua jam sebelum memulakan sesi pembelajaran di sekolah yang bermula dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang dan kemudian sambung ke kelas tuisyen sehingga 10 malam pula. Tiba sahaja di rumah pada pukul 11 atau 12 tengah malam, mereka perlu melakukan ulang kaji sebelum tidur. Kebanyakan daripada mereka hanya dapat tidur maksimum lima jam sehari.
Difahamkan, usaha keras itu perlu dilakukan kerana Suneung mengkehendaki pelajar menghafal untuk mendapatkan angka atau huruf yang sempurna tanpa sebarang kesalahan. Ujian yang berlangsung selama lapan jam itu juga turut menguji sejauh mana pengetahuan mereka dalam subjek bahasa Korea, Inggeris, Sains, Pengajian Sosial dan Matematik.
Getirnya Suneung ini jelas tergambar pada hari berlangsungnya peperiksaan awam tersebut melalui beberapa dasar pengangkutan jalan dan pelbagai inisiatif yang diwujudkan kerajaan.
Antaranya, keutamaan sistem pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), bas dan teksi kepada calon peperiksaan, mengharamkan kenderaan membunyikan hon atau berhenti di perkarangan sekolah, selain mewajibkan pekerja-pekerja hadir ke pejabat secepat mungkin bagi memberikan lebih keselesaan penggunaan pengangkutan awam kepada pelajar.
Bukan itu sahaja, usaha kerajaan juga turut disokong oleh ibu bapa apabila mereka bersama-sama meluangkan masa serta mengambil cuti untuk berdoa di tempat-tempat ibadat seperti kuil dan gereja di seluruh negara. Manakala, pihak sekolah juga mengarahkan pasukan sorak untuk membuat persembahan serta memberikan kata-kata semangat kepada setiap calon yang merupakan senior mereka di pintu masuk sekolah seperti perkataan ‘fighting’ dan ‘you can do it’.
Sekiranya lulus, peluang pelajar-pelajar untuk menyambung pengajian di tiga universiti utama negara iaitu Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Korea dan Universiti Yonsei adalah cerah.
- DHIYA’ZULHILMI DAUD


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140517/lu_14/Mimpi-ngeri-Suneung#ixzz320r8uSNW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: