Pages

Sunday, March 2, 2014

Pondok paling berbahaya


Pendaki gunung yang berada di Solvay Hut boleh menikmati pemandangan mengagumkan dari puncak Gunung Monte Rosa di Itali. - AGENSI
GENEVA 1 Mac - Sebuah pondok kecil yang dibina di timur laut rabung Gunung Matterhorn di daerah Canton of Valais, Switzerland layak digelar sebagai pondok paling berbahaya di dunia.
Diberi nama Solvay Hut, pondok dibina pada ketinggian 3,962 meter dari aras laut itu juga merupakan struktur seumpamanya yang tertinggi di benua ini, iaitu 457 meter dari bawah puncak gunung atau dua pertiga ketinggian gunung.
Odditycentral melaporkan, pondok itu dimiliki oleh kelab Swiss Alpine yang bertujuan untuk memberikan perlindungan dan menyediakan makanan kepada pendaki gunung Matterhorn.
Pendaki yang berada di situ boleh menikmati pemandangan menakjubkan kesemua puncak Gunung Monte Rosa di Itali dan mengambil gambar di situ.
Pondok yang boleh memuatkan sebanyak 10 orang itu dibina pada 1915 yang mengambil masa selama lima hari untuk disiapkan.
Kesemua bahan binaan itu terlebih dahulu dibawa ke kawasan Hornli Hut, 762 meter di bawah pondok dengan menggunakan haiwan sebelum dibawa ke atas dengan menggunakan kereta kabel.
Struktur itu dibina semula pada 1966 sebelum dipasang dengan telefon kecemasan pada 1976.
Solvay Hut dinamakan sempena nama seorang pendaki Belgium, Ernest Solvay yang menyumbang dana bagi pembinaannya serta mengenang usaha beliau membangunkan kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140302/lu_06/Pondok-paling-berbahaya#ixzz2ukgyfXCn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: