Pages

Wednesday, February 19, 2014

Lelaki enggan pindah tinggal bersendirian tanpa jiran


RUMAH milik Chalie Wright menjadi satu-satunya kediaman yang masih belum dirobohkan oleh majlis perbandaran. - AGENSI
LONDON 18 Feb. - Seorang lelaki Britain sanggup tinggal berseorangan di sebuah rumah di kawasan perumahan di dalam Majlis Perbandaran Wirral Borough, Merseyside, walaupun kesemua 600 jirannya sudahpun berpindah ke tempat lain, semata-mata kerana dia tidak mahu meninggalkan rumah itu yang didiaminya sejak 62 tahun lalu.
Charlie Wright menolak beberapa tawaran daripada majlis perbandaran itu untuk berpindah dari rumah kelahirannya di Birkenhead, Merseyside itu, walaupun kesemua 600 buah rumah di sekelilingnya sudahpun dirobohkan oleh majlis perbandaran untuk tujuan pembangunan.
Wright enggan berganjak dengan keputusannya walaupun kini tidak lagi hidup berjiran.
Menurut Wright, dia dilahirkan di rumah tersebut dan sudah tinggal di situ selama 62 tahun.
“Ibu saya telah tinggal di rumah ini sejak perang (Perang Dunia Kedua) dan membesarkan kami sepuluh beradik di rumah ini.
“Kini tinggal saya berseorangan, dan saya akan terus tinggal di sini walaupun sebelum ini saya mempunyai beratus-ratus jiran di kawasan penempatan ini," katanya.
Sebelum ini, terdapat kira-kira 600 buah rumah di kawasan penempatan terbabit yang terletak di pelabuhan Birkenhead dan turut menjadi tempat kediaman untuk beribu-ribu pekerja industri kilang dan pembinaan kapal.
Kira-kira 14,000 orang pernah mendiami kawasan berkenaan sebelum jumlah itu menurun kepada 1,300 orang pada pertengahan 1980-an disebabkan masalah kemiskinan.
Rumah-rumah di kawasan ini dirobohkan ekoran perancangan pihak berkuasa tempatan untuk membina kilang baharu, namun ketiadaan pelaburan dan peluang pekerjaan menyebabkan lokasi itu menjadi tandus dan terbiar.
Kini tinggal satu-satunya rumah Wright yang terletak di tepi jalan dan dikelilingi kawasan yang tandus. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140219/lu_06/Lelaki-enggan-pindah-tinggal-bersendirian-tanpa-jiran#ixzz2thyWSRW5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: