Pages

Friday, December 27, 2013

Remaja cipta rekod dunia


Selain berjaya merentasi pantai Antartika ke Kutub Selatan dalam tempoh 18 hari, Parker Liautaud turut muncul individu termuda sampai di bahagian paling selatan dunia itu menggunakan ski. - AGENSI
ANTARTIKA 25 Dis. - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mencipta rekod dunia baharu, apabila berjaya tiba di Kutub Selatan dari pantai Antartika hanya dalam tempoh masa 18 hari.
Kejayaan Parker Liautaud itu, sekali gus memadam rekod perjalanan terpantas yang dipegang oleh Christian Eide, dari Norway yang menamatkan penjelajahan sama dalam masa 24 hari.
Selain itu, Liautaud turut dinobatkan sebagai manusia paling muda berjaya tiba di Kutub Selatan dengan menggunakan ski.
Penuntut Universiti Yale itu berkata, dia memulakan ekspedisi yang melibatkan perjalanan sejauh 561 kilometer itu pada 3 Disember lalu, dengan dua matlamat utama iaitu mahu melakukan kajian saintifik serta mengumpul sampel data.
"Objektif kedua saya adalah mahu mengadakan satu dialog tentang perubahan iklim dunia yang melibatkan pembabitan orang ramai dalam memberi buah fikiran,'' katanya.
Selepas berjaya tiba di Kutub Selatan sehari sebelum sambutan Krismas, Liautaud menjelaskan, ekspedisi itu benar-benar menguji ketahanan mental apabila dia perlu bijak mengurus segala masalah yang dihadapinya dengan baik.
"Ia merupakan satu kelegaan kepada saya apabila berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan,'' ujarnya lagi.
Dalam perjalanan ke Kutub Selatan, dia sempat berhenti di beberapa kawasan untuk mengutip sampel dan mengukur serta menghantar beberapa data berkenaan iklim.
Liautaud sebelum ini pernah cuba menjadi manusia paling muda merentasi Kutub Selatan ketika dia berusia 15 tahun, namun pasukan yang disertainya terpaksa berpatah balik hanya kira-kira 24 kilometer sebelum tiba ke garisan penamat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_08/Remaja-cipta-rekod-dunia#ixzz2ocb8zTbh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: