Pages

Tuesday, April 16, 2013

Isteri bersalin, suami tertekan




OXFORD 15 April - Satu kajian mendapati suami yang menemani isteri mereka ketika bersalin berdepan tekanan sama seperti ibu-ibu yang mengalami tekanan untuk melahirkan bayi.

Mungkin dakwaan itu dianggap remeh oleh golongan ibu yang merasai sendiri kelahiran dan juga melalui pengalaman kehamilan yang sukar sepanjang sembilan bulan, namun kajian yang dilakukan oleh Universiti Oxford mendapati golongan bapa turut mengalami ketakutan mental.

Keadaan itu berlaku selepas menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran yang sukar menyebabkan mereka mengalami masalah tekanan selepas trauma (PTSD).

"Kebanyakan kes seperti ini berlaku melibatkan proses bersalin yang teruk termasuk kes kecemasan sehingga terpaksa menjalani pembedahan histerektomi (buang rahim).

"Kehamilan dan proses bersalin sebenarnya melalui tempoh yang panjang dan sukar dijangka. Ia memberi kesan terhadap mental dan fizikal, begitu juga hubungan kekeluargaan," kata Profesor Marian Knight yang mengetuai penyelidikan tersebut.

Kumpulan penyelidik mewawancara beberapa lelaki yang menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran termasuk pembedahan kecemasan.

Mereka menceritakan tentang keadaan dibiarkan sendirian di kaki lima hospital dengan gambaran yang sedikit tentang keadaan semasa isteri dan anak yang bakal dilahirkan.

Seorang bapa, Darren Dixon mengalami tekanan hingga hampir membunuh diri selepas melihat isterinya, Sarah, mengalami pendarahan teruk ketika melahirkan anak mereka melalui pembedahan.

Sarah terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim berikutan komplikasi yang dialaminya dan bayi mereka, pula terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas itu.

"Saya mengalami pengalaman menakutkan menyebabkan saya disahkan menghidap masalah sindrom selepas trauma dan tidak boleh kembali bekerja," katanya. - AGENSI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_07/Isteri-bersalin-suami-tertekan#ixzz2Qa1yIaXV
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: