Gelang anti culik Natalia
Gelang Projek Natalia mendapat namanya menerusi kes pembunuhan aktivis Natalia Estemirova di utara Caucasus dalam 2009.
IBU bapa dan rakyat dunia mungkin akan dapat mengurangkan sedikit tahap kerisauan mereka membabitkan isu jenayah culik global dengan adanya seutas gelang berteknologi tinggi baru yang menggunakan sistem Facebook dan Twitter sebagai amaran penculikan.

Dipetik MailOnline, gelang yang bernama Projek Natalia itu dipasang dengan peranti berteknologi pemandu arah satelit dan berhubung dengan media sosial untuk membolehkannya menyalurkan maklumat serangan hanya dalam satu saat.

Set pertama Projek Natalia dijangka dikeluarkan pada minggu ini di kawasan peperangan serta lokasi risiko tinggi kes penculikan.

Pertubuhan kempen Pertahanan Hak Asasi Awam Rusia yang juga menyumbang kepada pengeluaran gelang anti culik ini, mendedahkan ia berfungsi secara automatik jika pemakainya diserang atau dalam ketakutan serta jika ia ditanggalkan secara paksa.

"Setiap gelang dilengkapi sistem teknologi telefon bimbit yang membolehkannya menghantar pesanan segera kepada mana-mana pejabat Pertahanan Hak Asasi Awam sebelum disiarkan ke laman sosial," kata pegawai pertahanan awam, Robert Hardh.

Pada masa yang sama, gelang berkenaan akan menghantar lokasi sistem penentu kedudukan global (GPS) kepada pasukan penyelamat dan polis dalam beberapa saat sahaja.
Laporan BBC pula menyebut bahawa gelang pintar berteknologi tinggi bakal menemui para pengguna tidak lama lagi bagi mengelakkan pekerja daripada risiko culik atau dibunuh.
Penggera peribadi di gelang tersebut menggunakan teknologi Sab-nav yang boleh memberi amaran pemakainya berada dalam bahaya.
Amaran yang sama juga akan dihantar dalam bentuk mesej ke Facebook dan Twitter kepada majikan bagi memastikan pekerja mereka dapat dikesan.
Gelang pertama bakal diberikan minggu ini dan ramai pembiaya mahukan gelang yang sama dikeluarkan dengan lebih banyak lagi.
Secara keseluruhan, 55 utas gelang bakal diedarkan menjelang akhir tahun depan.