Pages

Thursday, February 7, 2013

Lima maut akibat gempa bumi



SYDNEY 6 Feb. - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak lelaki, dan tiga lagi cedera apabila satu gempa bumi kuat berukuran 8.0 skala Richter menggegar kawasan berdekatan Kepulauan Solomon, hari ini.
Seorang jururawat di Hospital Lata, Chris Rogers berkata, lima orang yang terbunuh merupakan dua orang lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
Gempa kuat itu turut menyebabkan satu tsunami kecil melanda beberapa kawasan pantai yang terpencil dan amaran tsunami telah dikeluarkan di seluruh negara di rantau Pasifik Selatan pada awalnya, namun ditarik semula beberapa jam kemudian.
Pusat Amaran Tsunami Hawaii berkata, gempa terbabit dikesan pada kedudukan 340 kilometer di timur Kira Kira, Kepulauan Solomon dan mencetuskan ombak tsunami dengan ketinggian 0.9 meter di wilayah Temotu.
Amaran tsunami yang dikeluarkan kepada Australia dan New Zealand ditarik balik selepas tiada ancaman ombak besar dikesan.
Pegawai perikanan di Lata, Luke Taula berkata, hanya ombak tsunami kecil melanda pekan terbabit yang terletak di Pulau Santa Cruz dan kawasan terminal lapangan terbang.
"Kerosakan hanya dilaporkan berlaku di beberapa kampung yang terletak di bahagian barat pekan Lata," katanya.
Kira-kira 5,000 orang yang tinggal di pekan tersebut menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi selepas gegaran gempa dirasai ekoran bimbang ancaman tsunami besar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130207/lu_01/Lima-maut-akibat-gempa-bumi#ixzz2KDkEW6dw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: