Pages

Wednesday, January 30, 2013

Abai perintah berkurung


Kaherah: Penunjuk perasaan Mesir mengabaikan perintah berkurung di bandar Port Said yang bergolak dengan menyerang balai polis selepas Presiden Mohamed Mursi menguatkuasakan darurat bagi menamatkan pertembungan berdarah yang setakat ini mengorbankan 52 orang.

Dua lelaki mati dalam pertempuran di bandar itu dalam kekacauan terbaru ketika orang ramai menyambut ulang tahun pertama kebangkitan rakyat.


Musuh Mohamed Mursi menolak gesaan rundingan, sebaliknya orang ramai turun ke jalan raya di Kaherah dan Iskandariah serta Port Said, Ismailia dan Suez - bandar pesisir Terusan Suez yang dikenakan perintah darurat sejak Ahad lalu.

Di Kaherah, penunjuk perasaan turut membakar beberapa kenderaan. Musuh politik Mohamed Mursi menuduh pemimpin gerakan Islam itu mengkhianati revolusi rakyat, sebaliknya kerajaan mendakwa penunjuk perasaan cuba menjatuhkan kerajaan dipilih secara demokratik melalui kaedah di luar demokrasi. Di Port Said, penunjuk perasaan menyerang balai polis selepas malam dan sumber berkata, beberapa anggota keselamatan cedera dalam insiden itu.


Sumber perubatan pula mendakwa, dua lelaki terbunuh dan 12 cedera termasuk 10 dengan kesan tembakan. - Reuters

No comments: