Syria
Kumpulan pemberontak terpaksa berlindung daripada serangan tentera kerajaan di bangunan usang.
DAMSYIK - Kumpulan pemberontak Syria, melancarkan serangan nekad sehingga meragut nyawa seorang komander tentera udara dekat sini, kelmarin.

Jeneral Abdullah Mahmud Al-Khalidi, dilaporkan terbunuh di daerah Rukn Al-Din dan kerajaan mengumumkan tindakan itu mungkin bermotifkan dendam.

Berita berkenaan disiarkan televisyen tempatan, sebaik sahaja kumpulan aktivis antikerajaan melaporkan peningkatan serangan udara dilancarkan terhadap pemberontak, termasuk serangan pertama pesawat perang di ibu negara sejak konflik bermula 20 bulan lalu.

Perkembangan itu dilaporkan sehari selepas gencatan senjata yang dilaksanakan untuk menghormati sambutan Aidiladha selama empat hari berakhir.

Susulan kegagalan gencatan senjata yang sebelum ini dirundingkan oleh Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi, kedua-dua pihak (tentera rejim dan kumpulan pemberontak) kini saling menuding jari.

Sementara itu, pada hari yang sama, lebih 20 orang terbunuh selepas jet pejuang tentera Syria membedil kawasan kejiranan berhampiran bandar Damsyik.

Sekurang-kurangnya lima pemberontak turut maut dalam pertempuran itu.

Sejak seminggu lalu, kirakira 150 orang menjadi korban pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak sekali gus, bilangan kematian dilaporkan meningkat kepada 35,000 orang iaitu sejak tercetusnya kebangkitan menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad. - Al-Jazeera