Rohingya
Kira-kira 27 pelarian Rohingya diusir kelmarin, semasa mereka cuba menyeberangi sempadan Rakhine. Foto: Reuters
DHAKA - Pengawal sempadan Bangladesh bertindak mengusir lebih 160 penduduk Islam Rohingya yang cuba menyeberangi sempadan untuk memasuki daerah Ukhia yang terletak bersempadan dengan Rakhine.

Komander Mohammad Khalequzzaman memberitahu jumlah pelarian Rohingya yang mahu mendapatkan perlindungan di sempadan negara itu meningkat sejak keganasan terbaru tercetus di Rakhine pada 21 Oktober lalu.

"Kumpulan terdiri daripada enam hingga 10 orang tersebut tiba secara tiga peringkat dan sebahagian daripada mereka adalah wanita serta kanak-kanak.

"Kami terpaksa mengarahkan mereka berpatah balik selepas memberikan sedikit makanan," katanya. Semasa keganasan etnik yang tercetus pada Jun lalu, pasukan peronda tempatan pernah mengusir sekurang-kurangnya 16 bot yang membawa pelarian Rohingya.

Tindakan itu dikecam kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun Dhaka menegaskan mereka tidak boleh lagi menerima kumpulan pelarian untuk mengelakkan kesesakan.

Difahamkan, pada masa ini terdapat kira-kira 300,000 penduduk Rohingya yang menetap di tenggara negara tersebut. - AFP