Pages

Tuesday, June 5, 2012

193 maut pesawat terhempas

Berita Harian Online | 193 maut pesawat terhempas:
PEKERJA penyelamat berkumpul di kawasan pesawat terhempas di Lagos, Nigeria, semalam. - Foto AP
PEKERJA penyelamat berkumpul di kawasan
pesawat terhempas di Lagos, Nigeria,
 semalam. - Foto AP


48 mangsa sudah ditemui, ramai lagi dikeluarkan dari tempat kejadian

LAGOS: Sebuah pesawat komersial terhempas di kawasan penempatan padat di bandar raya terbesar Nigeria semalam, membunuh semua 193 penumpang dan penduduk dalam nahas udara paling buruk di negara itu dalam masa dua dekad.
Punca kemalangan Dana Air belum diketahui sehingga semalam, ketika pasukan bomba dan polis berusaha keras memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat Boeing MD83 itu. Pihak berkuasa tidak dapat mengawal beribu-ribu penduduk yang berkumpul untuk melihat kawasan kemalangan, dengan sebahagiannya merangkak di atas sayap kapal terbang yang patah dan berdiri di atas gear pendaratan.
Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini. - Goodluck Jonathan, Presiden Nigeria
Pekerja kecemasan menggunakan anjing dan kren untuk mencari mayat. Pegawai penyelamat pula berkata mereka bimbang ramai lagi penduduk di darat maut dalam nahas berkenaan.

Pertubuhan Palang Merah Nigeria berkata, 48 mayat sudah ditemui, dengan ramai lagi dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.

“Kebimbangan itu kerana ia berlaku di kawasan berpenduduk padat dan mungkin ramai lagi yang terbunuh,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria, Yushau Shuaib.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Nigeria, Harold Demuren, berkata semua penumpang dan krew pesawat maut dalam nahas itu. Kerajaan negeri Lagos dalam satu kenyataan berkata, 153 penumpang berada dalam penerbangan dari ibu negara, Abuja, ke Lagos di barat daya Nigeria. 
Juruterbang menghubungi menara kawalan Lagos sejurus sebelum terhempas, berkata pesawat itu mempunyai masalah enjin, kata pegawai tentera yang enggan dikenali.

Pasukan penyelamat bimbang ramai lagi yang terbunuh atau cedera di darat tetapi bilangan mangsa belum diperoleh. Bomba dan penduduk setempat dilihat membawa mayat seorang lelaki daripada sebuah bangunan, dindingnya runtuh dan api masih bernyala sejam selepas kemalangan.

Presiden Goodluck Jonathan kemudian mengisytiharkan tiga hari berkabung di negara paling ramai rakyat di Afrika itu.

“Jonathan berdoa semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini,” menurut kenyataan pejabatnya.

Pesawat kelihatan mendarat dengan perut dulu mencecah kawasan penempatan padat berhampiran laluan yang diambil pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammad di Lagos. Ia membelah bumbung rumah, melanggar pokok mangga dan merempuh studio kerja kayu, loji percetakan akhbar dan sekurang-kurangnya dua bangunan pangsapuri besar sebelum berhenti.

Habuk putih dan berbahaya kelihatan dari tempat kemalangan yang menyakitkan mata orang ramai manakala serpihan pesawat berselerak di atas tanah.

Ketika penduduk membantu membawa hos air ke tempat kejadian, cabaran besar yang dihadapi ialah tiada air untuk memadamkan kebakaran lebih tiga jam kemudian.

Beberapa lelaki muda membawa plastik berisi air untuk cuba memadamkan sebahagian kecil kebakaran. Kereta bomba, dari Lagos yang mempunyai 17.5 juta penduduk itu, tidak dapat membawa air mencukupi.

Pegawai beralih mendapat bantuan trak air dari kawasan pembinaan berhampiran untuk membantu tetapi ia tersekat di jalan raya yang sempit dan sesak, tidak boleh tiba di tempat kejadian.

Mangsa yang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya empat warga China, lapor agensi berita Xinhua lewat semalam, memetik kenyataan diplomat China di Nigeria. – AP
'via Blog this'

No comments: