Pages

Tuesday, February 7, 2012

Tentera rejim Syria didakwa bunuh 50 penduduk


BEIRUT 6 Feb. - Keadaan di Syria terus meruncing apabila askar kerajaan melancarkan serangan terbaru di Homs awal pagi ini dengan membedil beberapa kawasan kejiranan, menyebabkan 50 orang terbunuh.

Sejak pemberontakan tercetus di Syria 11 bulan yang lalu, lebih 5,000 nyawa dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad

Jurucakap Majlis Kebangsaan Syria yang mewakili pembangkang, Catherine al-Talli berkata, kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam serangan yang bermula ketika subuh itu adalah orang awam.

"Tindakan rejim seakan-akan mereka kebal terhadap siasatan antarabangsa dan bebas melakukan keganasan terhadap orang awam," katanya.

Siri serangan terbaru itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat berjanji sekatan berat terhadap Damsyik sebagai tindakan kepada kuasa veto Rusia dan China dalam draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan menyokong pelan Liga Arab dalam usaha memaksa al-Assad berundur.

Beberapa stesen televisyen satelit Arab menyiarkan situasi yang berlaku di Homs secara langsung. Letupan dan asap tebal kelihatan menjulang daripada beberapa buah bangunan di bandar itu.

Kumpulan aktivis dan pembangkang mendakwa, serangan dahsyat sepanjang malam Jumaat lalu di Homs telah membunuh lebih 200 orang awam, manakala serangan keesokan harinya membunuh sekurang-kurangnya 23 orang awam.

Damsyik bagaimanapun menafikan mereka bertindak membedil rumah dan mendakwa imej mangsa terkorban yang disiarkan menerusi Internet adalah palsu.

Sementara itu, pasukan tentera Syria yang berpaling tadah mengumumkan penubuhan majlis tertinggi tentera untuk membebaskan negara itu dari cengkaman Assad.

Majlis itu yang digelar 'Majlis Tertinggi Revolusi' ditubuhkan untuk menggantikan Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan ia diketuai Jeneral Mustafa Ahmed al-Sheikh, pegawai tentera paling kanan yang berpaling tadah dan kini lari ke Turki.

"Selepas perbincangan dengan tentera yang berpaling tadah di seluruh Syria, agenda penubuhan Majlis Tertinggi Revolusi adalah untuk membebaskan Syria," menurut jurucakapnya, Mejar Maher al-Naimi. - REUTERS/ AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: