Pages

Sunday, November 25, 2012

Maklumat pengebumian Osama didedah?



Osama bin Laden
NEW YORK 23 Nov. - Kontroversi berhubung apa yang terjadi kepada jenazah orang yang paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS), Osama bin Laden selepas beliau dilaporkan dibunuh oleh komando AS tahun lalu, sedikit terjawab apabila beberapa e-mel antara pegawai tentera AS mendedahkan persoalan itu.
Akhbar Daily Mail melaporkan e-mel dalaman rahsia tentera AS itu mendedahkan jenazah Osama dimandikan, dikapankan dengan kain putih dan kemudian dibuang ke dalam laut, mengikut cara pengebumian Islam.
Menurut e-mel rahsia itu, tiada kelasi yang menyaksikan proses pengebumian itu dilakukan.
E-mel antara pegawai tentera AS yang sebelum ini dirahsiakan dan dikawal ketat dan berjaya didapati melalui Akta Kebebasan Maklumat, merupakan pendedahan pertama maklumat kerajaan AS mengenai pembunuhan Osama pada 1 Mei 2011 oleh komando SEAL AS dalam serbuan di pekan Abbottabad, Pakistan.
Bagaimanapun, pendedahan e-mel itu masih menimbulkan keraguan kerana ketiadaan bukti-bukti lain termasuk gambar pengebumian, selain dianggap sebagai 'permainan' kerajaan AS bagi mengaburi apa sebenarnya yang berlaku.
Satu e-mel yang ditandakan sebagai sulit dan dihantar oleh pegawai kanan tentera, Laksamana Muda Charles Gaouette pada 2 Mei lalu, secara ringkas menerangkan bagaimana mayat Osama dimandikan, dikapan dan kemudian dimasukkan dalam beg yang mengandungi pemberat.
Satu lagi e-mel oleh pegawai hal ehwal awam kapal pengangkut USS Carl Vinson menyatakan, hanya sejumlah kecil kepemimpinan kapal itu dimaklumkan mengenai pengebumian Osama itu.
''Selepas dimandikan dan dikapan, mayat (Osama) diletakkan di dalam sebuah beg mengandungi pemberat. Seorang pegawai tentera membacakan doa yang kemudian diterjemah dalam bahasa Arab. Selepas selesai, mayat itu diletakkan ke atas papan dan dilepaskan ke dalam laut,'' kata e-mel Gaouette itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121124/lu_03/Maklumat-pengebumian-Osama-didedah#ixzz2DEYFMmJ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: