Pages

Tuesday, October 2, 2012

Serangan udara ragut 17 nyawa



Seorang tentera pemberontak membalas tembakan tentera kerajaan sewaktu pertempuran di bandar lama Aleppo di utara Syria kelmarin. - AFP
BEIRUT 1 Okt. - Satu serangan udara tentera ke atas pekan Salqeen di wilayah Idlib, Syria yang dikuasai kumpulan pemberontak, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam terbunuh termasuk lima kanak-kanak, lapor kumpulan hak asasi manusia.
Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman berkata, tujuh orang turut dilaporkan terbunuh dalam serangan meriam tentera kerajaan di wilayah Daraa, Hama dan Homs.
Katanya, serangan udara itu mengenai beberapa bangunan yang dihuni kira-kira 30 penduduk dan ada mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah dan tertimbus dalam runtuhan bangunan.
"Sekurang-kurangnya 17 penduduk awam termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di pekan Salqeen dan angka kematian dijangka meningkat ekoran jumlah mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.
"Tiga daripada kanak-kanak terbabit dipercayai berasal daripada keluarga yang sama," katanya.
Dalam satu rakaman video amatur yang disiarkan oleh kumpulan aktivis di Salqeen yang terletak kira-kira lima kilometer dari sempadan Turki, beberapa mayat mangsa dilihat dilonggokkan di atas sebuah trak dengan kesan luka yang teruk.
Namun, kesahihan video tersebut tidak dapat dipastikan.
Rami berkata, ambulans dari Turki terpaksa menunggu di Bab al-Hawa untuk mengambil mangsa yang cedera ekoran tiada perkhidmatan hospital di kawasan serangan.
Katanya, serangan udara itu dilancarkan selepas kegagalan tentera kerajaan untuk memasuki pekan berkenaan awal pagi ini apabila ditentang hebat kumpulan pemberontak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_01/Serangan-udara-ragut-17-nyawa#ixzz289WpY2PS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: