Pages

Wednesday, September 19, 2012

Tunjuk perasaan bantah filem anti-Islam berterusan



PENDUDUK Islam di India membakar kenderaan polis semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah filem anti-Islam di Srinagar, semalam. - AFP
SRINAGAR, India 18 Sept. - Pasukan tentera dan penunjuk perasaan bertempur di beberapa jalan utama di Kashmir, hari ini, bagi menyatakan bantahan terhadap filem Innocence of Muslims yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Pertempuran itu menyebabkan kawasan perniagaan terpaksa ditutup dan pengangkutan awam dibatalkan, dengan penunjuk perasaan bertindak membakar bendera Amerika Syarikat (AS) dan gambar Presiden Barack Obama.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan yang mula memasuki kawasan perniagaan utama.
Sementara itu di Indonesia, beratus-ratus penduduk di Jakarta dan Medan berhimpun bagi mengadakan bantahan terhadap filem itu.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan berkumpul di bangunan Konsulat AS di Medan sambil membakar tayar dan melaungkan slogan anti-AS.
Di Dhaka, Bangladesh, kerajaan bertindak menyekat akses YouTube selepas laman perkongsian video itu gagal menarik keluar filem tersebut di negara itu. - AFP/DPA

No comments: