Pages

Wednesday, September 19, 2012

Serangan berani mati di Kabul, 12 maut



Penduduk Afghanistan memerhati mayat beberapa orang yang terbunuh dalam insiden seorang wanita yang memandu kereta yang sarat bahan letupan merempuh sebuah bas mini di lebuh raya menuju ke lapangan terbang Kabul, semalam. - AGENSI
KABUL 18 Sept. - Sekurang-kurangnya 12 orang maut apabila seorang wanita yang memandu sebuah kereta dipenuhi bom melanggar sebuah bas mini di sini hari ini, sebagai serangan membantah penyiaran filem anti-Islam di Amerika Syarikat (AS).
Serangan di lebuh raya menuju ke lapangan terbang antarabangsa Kabul itu merupakan serangan berani mati kedua di bandar ini dalam tempoh 10 hari, menimbulkan kembali persoalan mengenai kestabilan di bandar ini, ketika pengunduran askar Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penyerahan kawalan keselamatan kepada tentera Afghanistan menjelang 2014.
''Pada kira-kira pukul 6.45 pagi (10.15 pagi waktu Malaysia) seorang pengembom berani mati yang memandu sebuah kereta meletupkan dirinya dengan merempuh sebuah bas mini di jalan raya Daerah 15 menunju ke lapangan terbang.
''Akibatnya, sembilan pekerja di sebuah syarikat asing dan tiga orang tempatan maut, selain dua anggota polis cedera,'' kata polis dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar Afrika Selatan berkata, lapan rakyatnya merupakan antara mangsa yang terbunuh.
Kumpulan pemberontak kedua terbesar di Afghanistan, Hezb-i-Islami mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
''Serangan bom itu dilancarkan oleh seorang wanita bernama Fatima sebagai membalas penghinaan terhadap Nabi Muhammad,'' kata jurucakap kumpulan itu, Zubair Sidiqi. - AFP

No comments: