Islam Rohingya
Kebanyakan penduduk Islam Rohingya kini terpaksa berpindah selepas kampung mereka dibakar pihak berkuasa.
RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, kelmarin mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM156 juta) disalurkan kepada orang Islam Rohingya yang kini hidup merana akibat ditindas pihak berkuasa.

Agensi berita tempatan melaporkan, kerajaan memutuskan untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya selepas kumpulan hak asasi manusia mendedahkan mereka kini menjadi mangsa pembunuhan, dirogol dan diusir daripada perkampungan di negeri Rakhine.

Akhir bulan lalu, Arab Saudi mengutuk keganasan ke atas orang Islam di barat laut Myanmar semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah dan turut menggesa negara anggota untuk memberi bantuan kepada orang Islam yang teraniaya di negeri Rakhine tersebut.

Myanmar turut dikecam negara antarabangsa kerana gagal untuk membela nasib kira-kira 800,000 penduduk Islam Rohingya yang dianggap sebagai pelarian oleh negara itu.