Pages

Wednesday, August 29, 2012

Pemilik pistol, dadah diberkas




MOHD. ADNAN (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pemburuan polis ke atas seorang lelaki yang disyaki pemilik sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta pada 18 Ogos lalu berakhir apabila suspek ditahan di Seksyen 9 di sini kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek merupakan suami kepada pemilik kereta terbabit yang ditemui terbabas berhampiran Stadium Malawati di Seksyen 13 pada pukul 2.45 pagi.
Difahamkan, isteri suspek bagaimanapun tidak terlibat.
"Kejadian berlaku apabila kereta dipandu suspek ditahan polis peronda di Jalan Subang di sini selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan selain dipandu secara berbahaya.
"Sebaik ditahan, anggota polis meminta kad pengenalan daripada suspek lelaki yang memandu bersendirian itu, namun dia cuba berlengah serta cuba mengeluarkan satu objek dari beg sandangnya tetapi dihalang anggota polis terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, suspek kemudian memecut tetapi beg sandangnya berjaya dirampas oleh polis. Pemeriksaan di dalam beg itu menemui sepucuk pistol semi automatik dengan tujuh butir peluru 9 milimeter.
Menurut Mohd. Adnan, sejam selepas itu, polis menerima maklumat kereta yang dipandu suspek terbabas di sebatang jalan di Seksyen 13 namun suspek telah melarikan diri.
"Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui 107 gram pelbagai jenis dadah," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

No comments: