Pages

Wednesday, August 29, 2012

Lima didakwa culik ahli perniagaan




LIMA tertuduh (dari kiri sehingga tertuduh berbaju batik hitam) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Melaka semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan.


MELAKA – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan pada 22 Ogos lalu.
Tertuduh terdiri daripada Mi Chew Kek, 40, Lim Lian Huat, 41, Chow Diong Ching, 51, Chong Noon Chee, 38, dan Teo Boon Han, 35.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.
Kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama beberapa orang lagi rakan sejenayah yang masih bebas menculik, Tan Lung Lai, 36, bagi memaksa lelaki berkenaan menyerahkan wang tebusan RM8 juta.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak bas dan kenderaan awam berhampiran medan selera Perkampungan Portugis di sini pada pukul 9.10 malam, 22 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pegawai Pendakwa yang mengendalikan kes berkenaan, Inspektor Muhather Mohd. Kudus memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam bela, Rosal Azimin Ahmad yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon agar mereka dikenakan jaminan rendah atas alasan mereka merupakan peniaga kecil-kecilan.
Setelah mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, Syajaratudur membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.

No comments: