Pages

Tuesday, August 21, 2012

Misi PBB di Syria tamat, status Naib Presiden masih 'misteri'


Misi PBB di Syria tamat, status Naib Presiden masih 'misteri'
Bashar al-Assad disambut ketika hadir di Masjid al-Hamad untuk menunaikan solat Aidilfitri di Damsyik, semalam. - Foto ihsan CNN
DAMSYIK - Mandat misi pasukan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal berakhir semalam - empat bulan selepas tiba di Syria - negara yang berhadapan dengan konflik lebih 17 bulan.

Misi itu berakahir pada hari umat Islam menyambut kedatangan 1 Syawal.

Presiden Bashar al-Assad muncul di khalayak buat kali pertama sejak awal bulan lalu dan dengan menunaikan solat Aidilfitri.

Syria, salah satu daripada tiga negara yang mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mengadakan sidang kemuncak khas minggu lalu di Makkah.

Mandat pasukan pemantau ini juga berakhir ketika muncul laporan yang bercanggah mengenai status Naib Presiden Farouq al-Sharaa sama ada masih berada di Syria ataupun sudah pun berpaling tadah.

Jika laporan itu benar, beliau merupakan pemimpin paling kanan di Syria berbuat demikian.

Sementara kumpulan pemberontak mendakwa beliau sudah meninggalkan Syria, rejim Bashar pula menafikannya.

Beliau juga tidak kelihatan di masjid ketika Bashar hadir untuk menunaikan solat Aidilfitri, semalam.

Laporan CNN menyebut bahawa meskipun kesemua 300 anggota pasukan pemantau akan meninggalkan Syria, PBB akan mengekalkan kehadirannya di negara itu dengan menyediakan pejabat perhubungan bagi menyokong usaha-usaha mencari penyelesaian politik.

"Kami akan terus berusaha untuk bergerak dari (situasi) keganasan kepada dialog," kata ketua misi, Lt Jen Babacar Gaye.

Awal bulan ini, Duta Khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan melepaskan jawatan selepas gagal dalam pelan damai enam perkara.

Pasukan pemantau itu tidak mencapai harapan yang disasarkan, sebaliknya keganasan dan situasi di Syria semakin meruncing kebelakangan ini.

Sejak sebulan lalu, lebih 150 kematian dilaporkan setiap bulan.

Semalam sahaja sekurang-kurangnya 170 orang dikatakan terbunuh di seluruh negara itu.

Kebangkitan rakyat menyaksikan penentangan terhadap kepimpinan Bashar.

No comments: