Pages

Tuesday, August 21, 2012

130 maut dalam pertempuran


SEORANG kanak-kanak lelaki menangis di hadapan sebuah bangunan yang musnah akibat bedilan tentera kerajaan, di bandar Aleppo, Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 20 Ogos - Hari pertama Aidilfitri di Syria semalam menyaksikan pertumpahan darah terus berlaku apabila sekurang-kurangnya 130 dilaporkan maut di seluruh negara dalam pertempuran antara tentera negara dengan pemberontak.
Menurut pemerhati hari ini, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah tentera, manakala Damsyik pula digegarkan dengan pertempuran antara pemberontak dengan tentera kerajaan.
Keganasan terbaru itu berlaku pada hari pertama Aidilfitri ketika wakil baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar Brahimi berkata, usaha mereka kini bukan lagi mahu 'menghalang berlakunya perang saudara', tetapi lebih kepada menamatkannya.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, sebanyak 16 mayat ditemui di kampung al-Tall, kubu kuat pemberontak di wilayah Damsyik, manakala 34 lagi tentera, 28 orang awam serta 22 pemberontak maut di seluruh Syria, semalam.
Menurut pertubuhan pemantau beribu pejabat di Britain itu yang mengumpulkan maklumatnya daripada rangkaian aktivis dari tempat kejadian, pertempuran antara pemberontak dengan tentera kerajaan berlaku di beberapa kejiranan di selatan Damsyik dengan bunyi letupan kuat kedengaran.
Aktivis pembangkang dari Suruhanjaya Jeneral Revolusi Syria berkata, tentera menggunakan kereta kebal dan mesingan untuk menggempur Maadamiet al-Sham di pinggir bandar Damsyik sepanjang malam tadi.
Berbeza dengan kemeriahan Aidilfitri yang dirasai di negara-negara lain, rakyat Syria pula berdepan dengan kekurangan makanan kerana banyak kedai ditutup ketika sambutan lebaran tahun ini.
Presiden Bashar al-Assad dalam pada itu membuat kemunculan di khalayak ramai buat pertama kalinya sejak Julai lalu bersama pegawai-pegawai kanan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Damsyik semalam.
Beberapa demonstrasi turut diadakan di jalan-jalan oleh penunjuk perasaan yang membantah tindakan kekerasan tentera negara. - AFP

No comments: