Pages

Monday, July 2, 2012

Thai perlu iktiraf kumpulan pemisah



Kejadian keganasan dan insiden letupan yang berterusan di selatan Thailand membuktikan wilayah yang didiami majoriti penduduk Islam itu masih belum aman dan perasaan tidak puas hati masih membelenggu penduduk di wilayah itu.
Beberapa siri serangan bom yang mengorbankan nyawa masih berlaku hampir setiap hari, walaupun pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan ketat di wilayah bergolak itu.
Yang terbaru dua anggota sukarelawan mati ditembak dalam satu serang hendap di Saiburi, Pattani pada Jumaat lalu, manakala pada April lalu tiga serangan bom menggegarkan wilayah Yala menyaksikan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera termasuk seorang warga Malaysia, Fauzi Awang, 40 tahun.
Serangan demi serangan yang dilancarkan oleh anggota pertubuhan pemisah di selatan Thailand menunjukkan penduduk marah dengan kerajaan kerana gagal menyelesaikan konflik di wilayah itu.
Kegagalan kerajaan menangani konflik dan membawa keamanan di wilayah itu mendorong kebangkitan semula pemberontakan oleh pertubuhan-pertubuhan pemisah termasuk Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), yang pernah bergiat aktif satu ketika dahulu pada 1960-an.
Kegiatan PULO yang ditubuhkan pada 22 Mac 1968 oleh Kabir Abdul Rahman yang bertujuan untuk memerdekakan lima wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Songkhla, Yala dan Satun, menjadi perlahan selepas 1980 hingga 1990-an ekoran perpecahan dalam kumpulan itu serta penangkapan beberapa pemimpinnya.
Namun, gerakan pemisah itu aktif semula pada 2004 berikutan tercetus kembali keganasan di wilayah itu dengan penubuhan PULO baru.
Malahan pada 2001, PULO telah melancarkan beberapa siri serangan bom bagi memberitahu kerajaan bahawa mereka masih giat berjuang menuntut kuasa autonomi di wilayah selatan Thailand yang pernah dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini.
Semasa kempen pilihan raya umum Thailand pada tahun lalu, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra turut berjanji untuk memberi kuasa autonomi kepada wilayah selatan negara itu jika parti pimpinannya, Pheu Thai menang pada pilihan raya itu, namun, sehingga kini, situasi di wilayah itu masih tidak berubah.
Sehingga kini, Thailand juga masih enggan mengiktiraf mana-mana kumpulan pemisah sebagai wakil sah penduduk di wilayah selatan itu untuk mengadakan rundingan bagi mencari penyelesaian kepada konflik di selatan negara gajah putih itu , termasuk PULO.
Maka, sudah sampai masanya kerajaan Thailand perlu mengambil langkah proaktif untuk mengiktiraf kumpulan-kumpulan pemisah itu jika Thailand benar-benar ikhlas untuk membawa keamanan di wilayah bergolak itu.
Dengan cara itu, barulah kedua-dua pihak boleh bertemu di meja rundingan bagi mencari penyelesaian sebenar di wilayah itu, sekali gus menamatkan konflik berdarah yang telah meragut beribu-ribu nyawa terutama penduduk awam di wilayah itu.

No comments: