Pages

Monday, July 30, 2012

Romney sokong Israel serang Iran

BAITULMAQDIS: Calon parti Republikan untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney akan menyokong Israel jika rejim Zionis itu mengambil keputusan untuk menggunakan tindakan ketenteraan bagi menghentikan Iran daripada menghasilkan senjata nuklear.
“Jika Israel perlu bertindak sendiri dalam usaha menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear, Romney akan menghormati keputusan itu,” kata pembantu kanan Hal Ehwal Keselamatan Romney, Dan Senor kepada wartawan yang menyertai calon berkenaan melawat Israel.

Kenyataan itu yang dibuat menjelang pertemuan Romney dengan pemimpin rejim Israel di Baitulmaqdis berbeza dengan usaha Presiden Barack Obama untuk meyakinkan rejim berkenaan bagi mengelak serangan bagi membolehkan sekatan antarabangsa mencengkam ekonomi Iran hingga ia bersetuju menghentikan aktiviti nuklearnya.
Romney tiba lewat Sabtu lalu, lawatan pusingan keduanya ke luar negara dalam usaha untuk mengukuhkan kemampuan dasar luarnya menjelang pilihan raya menentang Obama pada 6 November depan. Lawatan itu berdepan kerumitan sejak mula lagi apabila beliau mencetuskan kemarahan rakyat Britain dengan membangkitkan soalan sama ada London sudah bersedia untuk menganjur Sukan Olimpik.

Dalam petikan ucapan yang akan disampaikan oleh Romney di Israel malam esok, bekas Gabenor Massachusetts itu dijangka memberitahu, pendekatan agresif terhadap Iran diperlukan bagi melindungi kewujudan Israel, sekutu Amerika Syarikat paling rapat di Asia Barat. - AFP

No comments: