Pages

Thursday, May 10, 2012

Pendakwa: Jenayah perang dilakukan atas perintah Bush

Pendakwa: Jenayah perang dilakukan atas perintah Bush - Global - Sinar Harian:


KUALA LUMPUR - Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur diberitahu hari ini bekas Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush dan sekutunya telah mengeluarkan perintah eksekutif melakukan jenayah perang.

Diketuai oleh Prof Gurdial Singh Nijar, pihak pendakwa berhujah bahawa Bush dan tujuh yang lain sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana merekalah penjenayah sebenar.

Beliau berkata sejak serangan 11 Sept ke atas sasaran Amerika, Amerika Syarikat menafikan adanya Konvensyen Geneva, mahukan orang lain supaya mengikut cara mereka dan terikat dengan undang-undang yang mereka buat.

Gurdial Singh berkata menurut Bush, anggota al-Qaeda atau Taliban tidak sepatutnya terikat dengan Konvensyen Geneva.

Beliau menerangkan bahagian utama dalam konvensyen itu menyatakan bahawa orang tahanan mesti dilayan berperikemanusiaan setiap masa dan mereka mestilah dilindungi terhadap perbuatan ganas atau ugutan, dan terhadap cemuhan dan keinginan orang ramai untuk tahu.
  
Gurdial Singh berhujah sebagai ketua pemerintah tentera Amerika Syarikat yang memimpin peperangan ke atas Afghanistan and Iraq, Bush menghendaki perintahnya dipatuhi.

Beliau berkata dengan kuasa sedemikian, Bush telah menerima laporan dari kawasan peperangan dan daripada sumber-sumber lain, yang jelas menunjukkan pencabulan.

"Beliau tidak berbuat apa-apa untuk menyekat supaya jenayah perang tidak dilakukan. Terbukti bahawa perintah eksekutifnya itu didasarkan kepada pendapat undang-undang, adalah isu yang tidak boleh melepaskannya. Sebenarnya ia menjadikan mereka yang memberi nasihat juga sama disabitkan dengan jenayah perang.

"Presiden Bush mengeluarkan satu memorandum pada 7 Feb, 2002, mengisytiharkan bahawa tahanan al-Qaeda adalah di luar perlindungan Konvensyen Geneva kerana mereka adalah 'musuh penggempur', bukannya tahanan  perang. Ini tindakan sebelum mereka diseksa dan diperlakukan tidak berperikemanusiaan," kata Gurdial Singh.

Gurdial Singh berkata tahanan-tahanan tersebut ditempatkan di Teluk Guantanamo di hujung selatan Cuba dengan tujuan mengeluarkan mereka daripada kuatkuasa sebarang sistem perundangan.

Hari ini masuk hari ketiga perbicaraan ke atas Bush; Dick Cheney, bekas naib presiden Amerika Syarikat; Donald Rumsfeld, bekas setiausaha pertahanan; Alberto Gonzales, yang pernah menjadi penasihat kepada Bush; David Addington, bekas ketua penasihat kepada naib presiden; William Haynes, bekas ketua penasihat kepada setiausaha pertahanan; Jay Bybee, bekas penolong Peguam Negara; dan John Yoo, bekas timbalan penolong Peguam Negara.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus mengetuai kuorum tribunal. Anggota panel yang lain terdiri Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Prof Salleh Buang dan Datuk Mohd Saari Yusuf.

Bermula dua hari lepas, tiga saksi iaitu Abbas Abid, Moazzam Begg dan Jameelah Hameedi telah memberi keterangan mengenai penyeksaan yang mereka alami ketika dalam tahanan tentera Amerika Syarikat.

Dua pernyataan oleh Ali Shalal dan Rhuhel Ahmed juga dibaca dan dikemukakan kepada tribunal tersebut.

Gurdial Singh berkata testimoni daripada kesemua saksi menunjukkan perlakuan  yang berbentuk 'ganas, kelakuan tidak bertamadun, kejam dan tidak seperti manusia' ke atas orang tahanan.
Gurdial Singh berkata pihak pendakwa menuntut supaya tertuduh disabit kesalahan mereka dan dihukum.

Perbicaraan yang berlangsung di bangunan Yayasan Jenayah Peperangan Kuala Lumpur di Jalan Perdana di sini dan disambung esok.  -- Bernama

No comments: