Pages

Thursday, May 10, 2012

Ejen CIA, Saudi intip al-Qaeda Yaman

Berita Harian Online | Ejen CIA, Saudi intip al-Qaeda Yaman:

WASHINGTON: Seorang pengebom daripada pergerakan yang menjadi sekutu al-Qaeda di Yaman yang melakukan misi meletupkan sebuah pesawat ke Amerika Syarikat bulan lalu sebenarnya menerima arahan daripada perisikan Arab Saudi dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). 

Lelaki terbabit termasuk dalam kategori ‘ejen talam dua muka’ menyamar bagi menjadi anggota kumpulan berkenaan dan menawarkan diri untuk misi bunuh diri itu, lapor media Amerika, kelmarin.


Agensi perisikan Arab Saudi menempatkan ejennya dalam pergerakan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) bagi meyakinkan orang atasan supaya menyerahkan kepadanya bom bukan metalik jenis baru untuk misi berkenaan, lapor Los Angeles Times (LAT).
Agensi perisikan Barat mengenal pasti AQAP sebagai antara pergerakan berkaitan al-Qaeda paling bahaya di dunia, yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Barat. 

Bahan letupan itu sepatutnya diseludup menggunakan kapal itu tanpa dikesan dan kemudian diletupkan. Ejen berkenaan sebaliknya mengatur untuk menghantar bahan letupan itu kepada Amerika dan pihak berkuasa perisikan lain yang menunggu di luar Yaman, lapor akhbar itu. Ejen terbabit tiba dengan selamat di negara dirahsiakan dan kini disoal mengenai tugasnya. 

Pakar di makmal bom Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Quantico, Virginia, kini menganalisis peralatan itu untuk menentukan sama ada ia benar-benar dapat mengelak dikesan alat keselamatan lapangan terbang. 

Jika peralatan seumpama itu boleh dibawa naik ke dalam pesawat, secara teori ia boleh diletupkan tanpa pengetahuan penumpang dan kru. 
Unsur utama ialah penggunaan bahan letupan tentera gred tinggi yang tidak ragu-ragu lagi boleh menjatuhkan pesawat, lapor New York Times (NYT), memetik kenyataan pegawai kanan Amerika. 

Ia kelihatan seperti versi seluar dalam dinaikkan taraf tetapi gagal menjatuhkan pesawat di Detroit, pada Krismas 2009, lapor LAT. 

“Jika peralatan seperti bom itu menunjukkan pengenalan forensik pembuat bom al-Qaeda yang menakutkan, Ibrahim Hassan Asiri, yang dipercayai bersembunyi di Yaman,” menurut laman web akhbar itu. 

Operasi tidak hanya bergantung kepada teknologi tinggi dan pemantau satelit yang sudah lama diketahui oleh CIA tetapi kerja perisikan manusia cara lama. 

Bagaimanapun, ia memberikan penyelidikan yang membantu CIA mengesan tokoh atasan al-Qaeda, Fahd al-Qasaa, yang maut Ahad lalu apabila pesawat kawalan jauh CIA mensasarkan dia dengan peluru berpandu ketika keluar daripada keretanya di Yaman. 

Qasaa dikatakan penganalisis perisikan memainkan peranan penting dalam pengeboman USS Cole di pelabuhan Yaman pada 2000. – Reuters

No comments: