Pages

Saturday, May 19, 2012

Ban risau al-Qaeda di Syria

Ban Ki-moon (kiri) dan Bashar al-Assad
Ban Ki-moon (kiri) dan Bashar al-Assad

Setuju Damsyik hadapi ancaman pengganas bukan aktivis prodemokrasi

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyuarakan kepercayaan bahawa kumpulan al-Qaeda adalah dalang dalam serangan besar-besaran di Syria minggu lalu.
Serangan bom dua kereta di luar bangunan perisikan tentera di Damsyik 10 Mei lalu dilihat menyamai taktik ala-al-Qaeda yang dilakukan di negara jiran, Iraq.
Beberapa hari lalu, satu serangan besar, serius dan besar-besaran berlaku. Saya percaya mungkin al-Qaeda yang merancangnya. Ini mencetuskan masalah yang amat serius. - Ban Ki-moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Seramai 55 orang mati dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam letupan itu baru-baru ini. Kelmarin, Presiden Bashar al-Assad menuduh negara Barat memejam mata kepada serangan terhadap tentera Syria.

“Beberapa hari lalu, satu serangan besar, serius dan besar-besaran berlaku. Saya percaya mungkin al-Qaeda yang merancangnya. Ini mencetuskan masalah yang amat serius,” kata Ban dalam satu majlis di ibu pejabat PBB di sini.

Ban berkata, pembabitan al-Qaeda di wilayah itu mencetuskan masalah yang serius.

Beliau juga menyebut bahawa ada dua lagi serangan terhadap pemantau PBB yang cuba untuk mengurangkan keganasan di Syria dan bermula lebih setahun lalu dengan satu kebangkitan popular menentang Bashar. 
Kenyataan beliau dibuat kepada lebih 2,500 orang pelajar menghadiri Persidangan Model PBB yang berlangsung setiap tahun. 

Serangan bom kereta berkembar itu membunuh 55 orang dan mencederakan 372 di Damsyik pada 10 Mei, kata media tempatan, yang disifatkan serangan paling buruk di ibu negara Syria sejak penduduk melancarkan protes menentang pemerintahan Bashar mulai Mac 2011.

Damsyik sejak sekian lama mempertahankan bahawa mereka berhadapan dengan konspirasi ‘pengganas’ dari luar. Pada masa sama, ada kerajaan monarki yang kaya dengan sumber di Teluk termasuk Arab Saudi dan Qatar menggesa senjata dihantar kepada penentang Bashar.

Syria bulan ini menghantar kepada PBB nama 26 rakyat asing yang dikatakan diberkas selepas datang melawan di Syria. Ia menyifatkan 20 daripada mereka adalah ahli al-Qaeda yang memasuki negara itu dari Turki. 
– Reuters

No comments: