Pages

Sunday, April 1, 2012

Media sosial bantu burukkan rusuhan London


  • Foto
    SEKUMPULAN perusuh memecahkan pintu kedai sebelum mencuri barangan di dalamnya. Gambar kecil, MARK Duggan meninggalkan balu dan lima anak selepas ditembak mati.
  • Foto
    ANTARA mesej di Facebook mengenai rusuhan di London.
  • Foto
    ANGGOTA bomba memadamkan api di sebuah bangunan kedai di Croydon, London.
  • Foto
    AKHBAR menyiarkan pandangan Perdana Menteri Britain mengenai kekacauan terburuk di Britain.
Laporan tidak ulas pembunuhan Mark Duggan yang dianggap pencetus kekacauan terburuk Britain

LAPORAN dramatik menerusi televisyen memaparkan deretan kedai dibakar perusuh dan polis berkawal tetapi melihat saja kejadian rompakan dilaporkan antara faktor menyemarakkan lagi rusuhan di London dan bandaraya lain di Britain tahun lalu, lapor sebuah panel bebas.
Rusuhan itu disiarkan di televisyen secara langsung manakala media sosial pula dipenuhi dengan mesej dan imej kekacauan yang menjejaskan imej Britain di seluruh dunia.

Kami sokong penuh kebebasan akhbar. Kami hargai cabaran melaporkan kejadian besar membabitkan kekacauan umum. - Panel
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri David Cameron sejak itu mengadakan perbincangan dengan wakil dari Blackberry, Facebook dan Twitter mengenai tindakan menyekat ia berulang.

Laporan bertajuk ‘5 Days in August’ (Lima hari pada bulan Ogos) menyebut: “Berdasarkan bukti rusuhan pada bulan Ogos itu dan dari apa yang orang ramai sampaikan kepada kami, jelas bahawa berita rusuhan itu menjadi lebih buruk dengan penyiarannya di televisyen dan anggota polis hanya melihat orang ramai merosakkan dan mencuri sesuka hati serta keupayaan media sosial membantu mereka yang bertindak beramai-ramai.”

Panel empat pakar itu dipengerusikan Darra Singh yang berkata bahawa ramai orang merasakan liputan berita 24 jam oleh BBC News dan Sky News memperbesar-besarkan keadaan rusuhan di kawasan mereka dan menyebabkan orang lain turut sama pergi ke kawasan bermasalah untuk turut menyertai perusuh lain.

Panel itu, bagaimanapun, tidak bersetuju mengenai cadangan spontan untuk menutup rangkaian sosial ketika berlaku rusuhan umum, dengan merumuskan bahawa mendiamkan diri bukan jalan penyelesaian. 
Panel yang melawat 21 komuniti dan menemubual beribu penduduk yang terjejas dengan rusuhan itu menyimpulkan ‘tidak diragukan lagi bahawa perusuh dibantu maklumat yang disebarkan media sosial.’

“Teknologi komunikasi sentiasa maju dan boleh memberi manfaat kepada pihak berkuasa dan polis berbanding perusuh. Apa yang jelas, tiada jalan mudah menghentikannya dengan pantas.”

“Disebabkan penduduk memandang penting media sosial dalam mengurangkan rusuhan daripada cepat merebak pada masa depan, kami cadangkan pandangan komuniti, pihak berkuasa dan lain-lain yang terbabit dalam rusuhan Ogos turut diambil kira apabila merancang pendekatan baru menanganinya.”

Panel itu menambah: “Kami sokong penuh kebebasan akhbar. Kami hargai cabaran melaporkan kejadian besar membabitkan kekacauan umum.

“Bagaimanapun, selain mengambil kira perkara ini, laporan televisyen mestilah tepat dan mempunyai kaitan antara isu yang dilaporkan dan imej yang dipaparkan.”

Pada masa sama, ada alasan lain bagi menjelaskan sebab rusuhan itu berlaku termasuk latar belakang sosial serta ekonomi mereka yang melakukan rusuhan dan kebakaran.

Satu daripada punca utama ialah tindakan polis menembak mati pengedar dadah Mark Duggan. Mengapa polis membunuhnya masih belum terjawab.

Sekurang-kurangnya dua kajian utama memberi penerangan terhadap lebih 3,000 orang yang ditahan atas dakwaan merusuh.

Hasil kajian bersama oleh The Guardian dan London School of Economics, membabitkan temubual dengan 270 perusuh, kebanyakannya adalah penganggur.

Separuh daripada mereka adalah kulit hitam tetapi mereka tidak disifatkan sebagai perusuh perkauman. Panel bebas ditubuhkan kerajaan berkata, lima juta keluarga diabaikan di England.

Ia memberikan gambaran suram kepada golongan ini: komuniti berpecah dengan golongan penganggur muda yang idamkan barangan berjenama yang sering diiklankan di sekeliling mereka tetapi tidak mampu membelinya.

“Apabila orang tidak berasa mereka mempunyai sebab untuk keluar dari masalah, ia memberi kesan buruk kepada masyarakat seperti kita lihat pada Ogos lalu,” kata Darra Singh.

Tetapi persoalan utama ialah mengapa polis membunuh Duggan. “Kami tidak tahu kerana kami masih lagi di peringkat permulaan,” kata ibu saudara Mark, Carole Duggan.

Banyak persoalan sudah terjawab dengan laporan itu tetapi tidak bagi pembunuhan Duggan. Diharapkan rusuhan baru perlu meletus untuk mengetahui kebenarannya. – Agensi

No comments: