Pages

Sunday, April 1, 2012

Juara Pidato BM, Olga kahwini lelaki Melayu





Olga Vadimovna Vasilevskaya dan Shahabudeen Jalil selepas majlis akad nikah di Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu, Ampang, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 31 Mac - Jika lima tahun lalu dia memilih untuk menyertai Pidato Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2007 dan muncul juara, kini gadis kelahiran Rusia itu memilih jejaka Melayu sebagai pasangan hidup.
Olga Vadimovna Vasilevskaya, 24, yang memegang Ijazah Bahasa Malaysia dan Pengajian Sejarah Melayu dari Universiti Moscow, Rusia bertemu jodoh dengan seorang usahawan tempatan, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, 29.
Bukan hanya mencintai bahasa Melayu dan jejaka Melayu, Olga turut mengambil keputusan memeluk agama Islam pada 9 Mac lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan nama Islam, Azizah Abdullah.
Tepat pukul 10 pagi, Olga dan Shahabudeen Jalil sah menjadi pasangan suami isteri selepas majlis akad nikah di Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu, Ampang, di sini.
Dengan mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin dan rantai emas, majlis pernikahan mereka berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran keluarga terdekat.
Pemilihan 31 Mac bagi majlis pernikahan itu adalah bersempena tarikh lahir Olga.
Majlis resepsi pula akan diadakan di Dewan Perdana Felda pada 21 Jun ini bersempena tarikh kelahiran Shahabudeen Jalil dengan kehadiran keluarga pasangan tersebut.
Selepas memenangi pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2007, Olga menyambung pengajian di negara ini sebelum bekerja selama setahun sebagai Eksekutif Pemasaran Antarabangsa di Dunham-Bush iaitu sebuah syarikat kendalian rakyat Rusia di sini.