Pages

Sunday, April 22, 2012

Pakistan janji siasatan menyeluruh nahas Bhoja Air

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG askar melihat serpihan bertaburan di pinggir bandar raya Islamabad selepas nahas pesawat Boeing 737 milik Bhoja Air kelmarin.



ISLAMABAD - Pihak berkuasa Pakistan semalam berjanji satu siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung nahas penerbangan domestik milik syarikat Bhoja Air yang mengorbankan 127 orang.
Menurut pihak berkuasa, semua kemungkinan akan disiasat bagi mengenal pasti punca nahas.
"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti sama ada tempoh usia pesawat telah tamat, sama ada nahas berlaku akibat masalah teknikal, perbuatan sabotaj ataupun sebab lain," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik.
Menurutnya, pemilik Bhoja Air, Farooq Bhoja dilarang daripada meninggalkan Pakistan bagi memastikan beliau memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut.
"Kami akan mengambil tindakan, saya berjanji kepada anda," ujarnya.
Semua 127 orang yang berada di dalam sebuah Boeing 737 Bhoja Air termasuk 11 kanak-kanak dan enam kru maut apabila pesawat berkenaan terhempas dan terbakar ketika ia cuba mendarat dalam cuaca buruk di lapangan terbang Islamabad di sini petang kelmarin.
Pesawat itu berkecai dengan sejumlah serpihan dan anggota badan manusia dilihat bertaburan di sepanjang kawasan ladang di pinggir bandar raya ini.
Menurut sebuah laman web, AviationSafety.net, pesawat jenis Boeing 737-200 itu berusia lebih 27 tahun ketika nahas berlaku.
Bhoja Air memulakan penerbangan pada 1993 tetapi menggantung operasi lapan tahun kemudian ekoran masalah kewangan.
Ia menyambung semula penerbangan domestik pada bulan lalu.
Pihak berkuasa menyatakan kotak hitam yang merekodkan data penerbangan tersebut telah ditemui pada malam kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, saudara-mara yang tiba untuk menuntut mayat mangsa melahirkan perasaan sedih dan marah berhubung nahas udara tersebut.
"Saudara lelaki saya sudah tiada! Saudara lelaki saya sudah tiada!" jerit seorang pemuda, Mohammad Shahzad sebelum dia rebah di pintu masuk sebuah hospital di sini.
Pada Julai 2010, sebuah pesawat syarikat penerbangan AirBlue merempuh kawasan pergunungan di sini dalam cuaca berkabus dengan menyebabkan semua 152 penumpang dan kru terbunuh.
Dua lagi nahas udara yang berlaku pada tahun sama telah meragut nyawa 33 orang.
Pakistan berada dalam kategori 1 senarai Pihak Berkuasa Penerbangan Amerika Syarikat sekali gus menunjukkan negara itu memenuhi standard antarabangsa bagi keselamatan udara. - Agensi

'via Blog this'

No comments: