Pages

Sunday, April 22, 2012

Beribu-ribu penduduk Syria anjur bantahan


Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

BEIRUT 21 April - Beribu-ribu penduduk Syria mengadakan tunjuk perasaan menentang rejim Bashar al-Assad semalam, sekali gus menguji gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika media kerajaan melaporkan 18 tentera terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak.
Menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, tunjuk perasaan berlaku di bandar Daraa, wilayah Damsyik, Homs dan Hama di tengah Syria, Idlib di barat laut, Aleppo di utara, Deir Ezzo di timur laut dan Latakia di perairan Mediterranean.
Tentera Syria melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan yang berhimpun selepas solat Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh, kata pertubuhan yang beribu pejabat di London itu.
Satu letupan turut menggegarkan wilayah Quneitra semalam, menyebabkan 10 tentera maut, lapor media kerajaan yang mendakwa ia didalangi kumpulan pemberontak.
Menurut agensi berita SANA, letupan itu disasarkan kepada sebuah bas yang mengangkut tentera.
Serangan sama berlaku di Karak, selatan wilayah Daraa mengorbankan lima tentera.
Bagaimanapun di Homs, pertempuran dan bedilan tentera di tengah bandar itu dihentikan ketika pemantau PBB dijadual melawat bandar itu, hari ini.
Seorang aktivis, Salim Qabani yang beribu pejabat di tengah wilayah Homs berkata, tentera rejim menyembunyikan kereta perisai dan kereta kebal diundurkan dari jalan-jalan raya di Homs dan ditempatkan di sebuah pangkalan polis.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB, semalam mencapai persetujuan sementara berhubung satu resolusi untuk menghantar 300 tentera pemantau gencatan senjata ke Syria yang akan diundi, hari ini. - AGENSI

No comments: