Pages

Saturday, April 28, 2012

Lahar punca lurah terbentuk di Marikh

Kosmo! Online - Dunia:



Planet Marikh.


WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi jurnal Science kelmarin.
Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di Pulau Besar, Hawaii.
Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.
Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.
Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan air.
"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang terdapat di Bumi.
"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.
Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut. - AFP

No comments: