Pages

Wednesday, April 18, 2012

Dragon sedia dilancar

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Gambar bertarikh 1 Mac 2012 yang dikeluarkan Space Exploration Technologies Corp. menunjukkan roket Falcon 9 menjalani ujian di pad pelancaran di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, sebelum dijadual menerbangkan kapsul Dragon ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 30 April ini. - AP


WASHINGTON 17 April - Kapal angkasa komersial pertama yang dirancang untuk berlabuh di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sudah bersedia untuk dilancarkan pada 30 April ini.
Kapal angkasa Dragon milik Space Exploration Technologies (Space X) dijadual melakukan penerbangan tiga hari ke ISS dan menjalankan beberapa ujian dan pergerakan berlabuh yang rumit bagi membuktikan kapal itu boleh selamat bercantum dengan stesen pengorbit tersebut, umum Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Space X, semalam.
"Ini adalah antara pelancaran bersejarah kerana ia merupakan kapal angkasa komersial pertama akan berlabuh di ISS untuk menghantar bekalan," kata Pengarah Program ISS, Mike Suffredini kepada wartawan, semalam, selepas mesyuarat untuk memutuskan sama ada Dragon bersedia untuk dilancarkan.
Kapsul Dragon akan dilancarkan dengan sebuah roket Falcon 9 dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida dan akan membawa 521 kilogram kargo, kebanyakannya bekalan makanan untuk angkasawan, ke ISS.
Jika semuanya berjalan lancar seperti dirancang, Dragon akan kembali ke Bumi dengan membawa balik 660 kilogram kargo buangan.
Meskipun NASA dan Space X yakin mengenai kejayaan misi itu, mereka juga menegaskan pelancaran tersebut adalah satu ujian melibatkan banyak faktor yang boleh berubah.
"Saya fikir peluang untuk berjaya agak cerah, tetapi perlu ditegaskan dalam misi seperti ini banyak perkara yang boleh menjadi tidak kena," kata ketua Space X, Elon Musk.
Bahagian misi paling kompleks ialah berlabuh di ISS, dan NASA serta Space X akan mengambil beberapa langkah untuk menguji pelbagai peralatan dalam tempoh beberapa jam semasa Dragon menghampiri stesen itu bagi memastikan keselamatan ISS dan angkasawan di dalamnya.
Dragon akan berada di ISS selama beberapa minggu untuk menurunkan kargo sebelum kembali ke Bumi dan terhempas di laut dekat pantai California.
Kapsul itu boleh diubah suai dengan mudah untuk membawa angkasawan dan misi sedemikian boleh dilancarkan dalam tiga tahun lagi jika segala-galanya berjalan lancar, kata Musk. - DPA

'via Blog this'

No comments: