Pages

Tuesday, March 27, 2012

Homs terus dibedil

myMetro | Homs terus dibedil:

DAMSYIK: Tentera Syria mengebom kawasan kejiranan pemberontak di bandar raya Homs untuk hari ketujuh berturut-turut semalam.
Serangan itu dilakukan beberapa jam selepas Russia memberi amaran kepada Damsyik ia perlu bertindak bagi mengelak perang saudara. 
Serangan dilancarkan ketika pemimpin pemberontak Syria berhimpun di Istanbul dalam usaha untuk bersatu menjelang mesyuarat ‘Sahabat Syria’ di bandar raya Turki itu pada 1 April depan.

Dalam pada itu, Turki mengumumkan penutupan kedutaannya di Damsyik.
Krisis Syria turut dibincangkan di Seoul dalam pertemuan 90 minit Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan rakan sejawatnya dari Russia, Dmitry Medvedev, kata pegawai kerajaan. 
Kumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) berkata, Khaldiyeh diserang awal pagi semalam dengan mortar menyebabkan beberapa kediaman terbakar.

Lima penduduk cedera parah dalam serangan yang bertujuan mengusir penentang kerajaan, menurut kumpulan kumpulan Pemerhati Syria bagi Human Rights, kumpulan hak asasi manusia yang berpejabat di Britain.

Serangan di Khaldiyeh, kawasan yang dikuasai pemberontak di tengah bandar raya Homs bermula Selasa minggu lalu dan berterusan setiap hari, menyebabkan puluhan penduduk terbunuh.

Keganasan terhadap penentang kerajaan oleh tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu didakwa meragut lebih 9,100 nyawa sejak tahun lalu dan ia menjadi isu utama perbincangan Osama dengan Medvedev di Seoul.

Kedua-dua pemimpin itu berada di ibu negara Korea Selatan berkenaan untuk menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear.

Dalam kenyataannya kepada wartawan selepas perbincangan itu, Obama mengaku tidak pernah mencapai kata sepakat dengan Russia, sekutu Bashar, sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menyokong usaha bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan bagi mengakhiri pertumpahan darah di Syria dan matlamat untuk membentuk ‘kerajaan yang sah’ di Damsyik. - AFP

'via Blog this'

No comments: