Pages

Saturday, February 4, 2012

Jenazah militan dibawa pulang selepas ujian DNA


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Profil asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga pemimpin kanan militan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI), Zulkifli Hir yang terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat mereka di selatan Filipina akan dihantar kepada polis negara berkenaan bagi mendapat pengesahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya ujian DNA yang dijalankan itu didapati positif, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguruskan jenazah Zulkifli untuk dibawa pulang bagi urusan pengkebumian.

Menurutnya, satu pasukan khas yang baru ditubuhkan kini berada di Manila dan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa di sana.

"Pada masa yang sama, PDRM juga sedang menunggu pengesahan dua lagi mayat yang ditemui dalam serangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tiga pemimpin JI termasuk Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan terbunuh dalam serangan terhadap kubu kuat mereka di selatan Filipina semalam.

Dua lagi yang turut terbunuh adalah anggota Darul Islam (DI) Sabah, Bacho dan Jeknal Adil yang berjaya melarikan diri dari polis pada November lalu.

Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat menawarkan hadiah sejumlah AS$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya.

Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia memandang serius aktiviti militan serta kegiatan terorisme dan sentiasa bekerjasama erat dengan negara-negara luar berhubung keselamatan serantau.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments: