Pages

Tuesday, January 3, 2012

Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang

Berita Harian Online | Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang: GEORGETOWN: Tangisan kanak-kanak perempuan yang berlarutan lebih 10 jam di rumah di Jalan Perak, di sini, awal pagi tadi, mengejutkan seorang jiran yang bertindak menghubungi polis.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar kanak-kanak itu menangis dan sesekali meminta tolong sejak jam 3 petang semalam hingga 1 pagi tadi.
"Saya menghubungi polis pagi tadi selepas mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan masih menangis," katanya ketika ditemui di sini.
Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa lebih setengah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci.

"Selepas mendapat bantuan daripada jiran, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dalam keadaan takut dan trauma itu kerana ditinggalkan seorang diri," katanya.

Jurucakap polis itu berkata, beberapa jiran menyedari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan tetapi lelaki terbabit melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.
Katanya, hasil maklumat jiran, polis cuba menghubungi anggota keluarga kanak-kanak malang itu tetapi gagal.

"Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya," katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu didera dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Pada 29 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda, Butterworth. - BERNAMA

'via Blog this'

No comments: