WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) sekali lagi melakukan perbuatan biadap dan menghina orang Islam di Afghanistan apabila video menunjukkan askar negara itu kencing di atas mayat penduduk negara itu mula tersebar di Internet.

Tindakan tidak bertamadun tentera laut AS itu terdedah selepas rakaman dimuat naik di laman web YouTube menunjukkan empat askar AS berpakaian celoreng kencing di atas mayat tiga lelaki yang didakwa anggota Taliban.

Semasa melakukan perbuatan memalukan itu, seorang daripada tentera dalam video itu dapat didengar mengeluarkan kata-kata "semoga bergembira, kawan" kepada mayat tersebut sementara seorang lagi askar membuat jenaka memualkan mengenai tindakan mereka.

Pendedahan itu memaksa jurucakap tentera laut AS, kelmarin, mengumumkan siasatan akan dijalankan mengenai kesahihan video itu.

Perbuatan askar AS itu dikecam kumpulan hak asasi Islam di AS.

"Askar yang bersalah mesti dihukum dengan hukuman paling berat angkatan tentera dan mengikut undang-undang," menurut Majlis Perhubungan Amerika-Islam.