Pages

Tuesday, December 20, 2011

Ibadat Malam atau Qiamuallail



 
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh ....

Panduan-panduan atau perkara-perkara yg biasa dipratikkan oleh ulama' dalam mengerjakan ibadah qiamullail dan tatacara yang berkaitan dengan ibadah tersebut.

MUQADDIMAH QIAMULLAIL

Qiamullail merupakan amal ibadat di tengah malam, dengan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat sunat Taubat,Tahajjud, Witir dan lain2, serta amalan2 seperti membaca Al-Quran , berzikir , beristighfar, berdoa dan sebagainya . Ibadah qiamullail sangat digalakan didaam islam sebagaimana maksud ayat yang ke-79 surah Al-isra'

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji".

Kelebihannya.

Allah SWT. menyatakan di dalam Al-Quran Al-Karim bahawa orang-orang yang sentiasa bertaqwa dan mengerjakan "Qiamullail" dengan beramal ibadat dan memohon keampunan dari Allah itu adalah orang-orang yang muhsinin, iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan yang berhak mendapat balasan yang baik, rahmat Allah dan Syurga. Firman Allah di dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)" .(Adz-Dzaariyaat15-18)

Allah SWT. memuji-muji dan merakamkan sebutan baik terhadap orang-orang yang tersebut itu serta mengkategorikan mereka ke dalam jumlah hamba-hambaNya yang "Abrar"- orang-orang yang bernakti dengan mengerjakan taat dan amal kebajikan. Orang-orang Abrar ini tempatnya di dalam Syurga yang penuh dengan berbagai-bagai nikmat. Firman Allah Taala :

" Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,(al-Furqaan:63-64)

Orang-orang yang melalui malam hari dengan berdiri untuk Tuhan mereka itu maksudnya ialah orang-orang yang solat tahajjud di malam hari semata-mata kerana Allah Taala.

Dan di samping itu Allah SWT juga bersaksi dan mengakui bahawa mereka itu ialah orang-orang yang beriman. Firman Allah Taala :

" Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.(As-sajdah:15-16)

Itulah sebahagian dari ayat-ayat Quran yang menunjukan kelebihan Qiamullail-beribadat di tengah malam. Manakala di dalam hadis Rasulullah SAW. pula di antaranya ialah sebagaimana berikut :

Berkata Abdullah bin Muslim : Pada permulaan Rasulullah SAW. ke Madinah, berkejaranlah orang ramai mengunjungi kepada baginda, dan aku adalah serorang dari mereka yang mengunjunginya, maka manakal aku memerhatikan mukanya dan aku telah mengenalnya, mengetahuilah aku bahawa wajahnya bukanlah wajah manusia jenis pendusta . Kata Abdullah selanjutnya : Apa yang mula-mula sekali aku dengar percakapannya ialah sabdanya;

"Wahai manusia ! Kamu tebarkanlah salam, berjamulah makanan, hubungilah silaturrahim, dan kerjakanlah sembahyang waktu malam di kala manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat".(Hadis Riwayat Tirmizi)

Berkata Salman Al-Farisi : Rasulullah SAW. telah bersabda Maksudnya :

"Hendaklah kamu mengerjakan Qiamullai, kerana iaitu ibadar kelaziman orang-orang soleh sebelum kamu dan juga menghampirkan kamu kepada Tuhan kamu, yang mengkafaratkan bagi kesalahan-kesalahan, mencegah dari berbuat dusta dan membuang penyakit dari tubuh badan".

Dan berkata Suhal b. Saad : Telah datang Jibril kepada Rasulullah SAW, lalu berkata :

"Hai Muhammad ! Hiduplah atas apa cara yang tuan hamba mahu kerana tuan hamba akan mati, kerjakanlah apa yang tuan hamba mahu kerana dengannya tuan hamba akan dibalas, dan cintailah sesiapa yang tuan hamba mahu kerana tuan hamba akan meninggalkannya. Dan ketahuilah bahawa kemuliaan seseorang mukmin itu ialah Qiamullai dan harga dirinya ialah terkayanya (tidak meminta-minta) dari manusia".

Waktu Qiamullail

Sembahyang malam itu harus dikerjakan, sama ada pada awal malam, di tengah-tengah malam atau di akhir malam. Ini berdasarkan riwayat Al-Hafiz : Bahawa tahajjud Rasulullah SAW itu tidak ada waktunya yang tetap, malah terpulang kepada apa yang mudah bagi baginda mengerjakannya jua.

Bagaimanapun , berdasarkan hadis-hadis yang lain, adalah lebih afdhal dilewatkan sembahyang tahajjud itu sehingga kepada salah satu pertiga yang akhir dari malam.

Diantara hadis-hadis itu ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau anada berminat menjadi seorang dari orang-orang yang menzikiri (mengingati) Allah pada saat yang tersebut , maka hendaklah anda lakukan. (At-Tirmizi)

Dan dari Abi Hurairah (RA) beliau berkata bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Allah Azzawajalla turun pada tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam yang terakhir , maka ia berfirman : " Sesiapa yang akan berdoa kepada aku akan aku perkenankan. Sesiapa yang meminta ampun kepada aku akan aku ampuninya". (Al-Bukhari)

Maksud hadis ini : Bahawasanya pintu rahmat Allah itu terbuka pada malam hari seluas-luasnya, khususnya pada akhir-akhir malam. Segala permohonan diterima pada ketika itu.

Bilangan rakaatnya

Sembahyang malam itu tidak ada baginya bilangan rakaat yang khusus, dan tidak pula ada had sempadan jumlahnya yang tertentu. Oleh itu, maka boleh berhasil maksud Qiamullai pada minimumnya, yakni pada jumlah yang paling tidaknya, dengan mengerjakan hanya satu rakaat witir selepas mengerjakan sembahyang Fardhu Isyak.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya : Rasulullah SAW telah menyuruh kami mengerjakan sembahyang malam dan baginda menggalakkannya sehingga ia bersabda :

"Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang malam itu walaupun satu rakaat". (Al-Tibrani)

Bagaimanapun , yang terlebih afdhalnya ialah selalu mengerjakan sebelas rakaat, iaitu boleh dibuat pilihan samada hendak dikerjakan sebanyak yang tersebut itu terus menerus sekaligus atau menceraikannya dengan mengerjakannya berdeket-deket beberapa rakaat dahulu dan kemudiannya beberapa rakaat lagi.

Aisyah RA berkata : Tidak pernah Rasulullah SAW (bersembahyang) lebih samada pada bulan Ramadhan atau bulan lainnya- daripada sebelas rakaat. (Mula-mulanya) baginda sembahyang empat rakaat tetapi jangan ditanya tentang elok dan panjangnya rakaat-rakat sembahyang itu, kemudian baginda sembahyang empat rakaat lagi. Itu pun jangan ditanya tentang elok dan panjangnya rakaat-rakaat sembahyang itu. Kemudiannya baginda sembahyang pula tiga rakaat. Lalu (kata Aisyah), aku bertanya : Ya Rasulullah ! adakah tuan hamba tidur sebelum daripada tuan hamba sembahyang witir ? Jawab Rasulullah : Hai Aisyah bahawa mataku tidur kedua-duanya tetapi hatiku tidak tidur !(Bukhari dan Muslim)

Tahajjud, Sunat Muakkadah

Tahajjud ialah nama bagi sembahyang-sembahyang sunat tambahan (nawafil) yang dikerjakan selepas bangkit daripada tidur di tengah Malam. Segala sembahyang yang dikerjakan sebagai kumpulan witir itu adalah tahajjud.

Mengerjakan tahajjud di tengah malam hukumnya adalah sunat muakkadah, yakni sunat yang sangat-sangat digalakkan supaya dikerjakan. Dikatakan yang terutama sekali diantara sembahyang-sembahyang itu, selain daripada sembahyang Fardhu, ialah sembahyang di tengah malam.

Ini dinyatakan didalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Muslim rh : Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW : Sembahyang apakah yang terafdhal selain dari sembahyang fardhu? Jawab baginda : "Sembahyang Malam".


Orang yang biasa menrejakan sembahyang malam, kalau suatu kali ia luput dari mengerjakannya kerana uzur atau sakit atau lainnya, maka bolehlah ia kerjakan gantinya pada siang hari sebanyak dua belas rakaat sebagai Qadha' tahajjud.

Ini bersumberkan kepada hadis Muslim, daripada Aisyah RA yang menyatakan : Adalah Rasulullah SAW, apabila baginda luput sembahyang malam dengan sebab sakit atau lainnya, maka baginda sembahyang pada siang hari dua belas rakaat.

Berniat Ketika Hendak Tidur

Orang yang berazam hendak bangkit di tengah malam kerana hendak Qiamullail, maka disunatkan ketika hendak tidurnya ia berniat : Bahawa ia hendak bangkit malam nanti kerana hendak mengerjakan ibdat Qiamullail.

Tujuannya berbaut demikian ialah semoga ia mendapat pahala bagi apa yang telah diniatkannya itu sekiranya ia tidak bangkit kerana benar-benar tidak terjaga dari tidurnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa tiba di hamparan tempat tidur serta ia berniat hendak bangkit mengerjakan sembahyang malam tetapi dia dikalahkan oleh matanya- Yakni terus tertidur-sehingga waktu subuh, maka dituliskan baginya (pahala) apa yang ia niatkan, dan tidurnya itu pula merupakan sedekah kepadanya daripada Tuhannya". (An-Nasai dan Ibnu Majah)

Seorang suami yang bangkit mengerjakan Qiamullail di tengah malam adalah disunatkan baginya mengejutkan isterinya supaya bangkit beribadat sama. Jika isterinya itu enggan, malah terus tidur, maka bolehlah suami mencari jalan menurut budi bicara yang baik supaya isterinya itu bangkit, hingga walaupun dengan merenjis air ke muka isterinya itu. Dan demikianlah juga sebaliknya-yakni isteri boleh melakukan perkara yang sama terhadap suaminya.

Rasulullah SAW telah bersabda :

"Allah merahmati seorang suami yang bangkit dari sebahagian malam lalu ia sembahyang dan mengejutkan isterinya. Kalau isterinya itu enggan, ia merenjiskan air ke mukanya. Juga Allah merahmati seorang isteri yang bangkit pada sebahagian malamnya lalu ia sembahyang dan mengejutkan suaminya. Jikalau suaminya enggan maka ia merenjiskan air ke mukanya". (Hadis Abu Daud)

Sayugia diingatkan mengerjakan amal ibadat malam hari atau Qiamullail itu tidaklah merupakan satu kemestian atau kewajiban, dengan keterlaluan sangat, sampai menjadi keberatan kepada diri atau mengganggu kesihatan atau menjejaskan tenaga bekerja mencari nafkah yang halal pada siang hari, kerana yang demikian itu bukanlah cara yang diingini. Malah buatlah sekadar minat dan termampu jua, tetapi biarlah berkekalan tanpa meninggalkannya kecuali dalam kecemasan atau jika ada apa-apa halangan yang tak dapat dielakkan.

Berkata Anas RA : Pada suatu masa Rasulullah SAW masuk ke dalam Masjid dan mendapati ada seutas tali tegang di antara dua batang tiang di situ. Lalu baginda bertanya : Tali apa ini ? Jawab para sahabat : Untuk Zainab bersembahyang, apabila beliau malas atau pun penat ia berpaut pada tali itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda pula :

" Robaklah dia ! Hendaknya seseorang dari kamu itu bersembahyang sekadar cergasnya jua. Apabila tidak berminat atau penat maka hendaklah ia tidur !" (Muttafaq 'Alaih)

mereka bertanya Rasulullah SAW : Apakah satu amalan yang lebih disukai Allah Taalah ? Baginda menjawab : "Yang berkekalan walaupun sedikit". (Bukhari dan Muslim).

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

No comments: