Pages

Wednesday, December 28, 2011

8,119 mangsa banjir dipindah



Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sadong Jaya, Josh Haikal hanya mampu duduk di sofa setelah sebahagian harta bendanya dihanyutkan air di Kampung Asajaya, Sarawak, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 27 Dis. - Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila seramai 8,119 mangsa daripada 45 kawasan yang terjejas dipindahkan setakat pukul 3 petang ini.

Jumlah itu dijangka terus meningkat kerana keadaan cuaca masih tidak menentu walaupun amaran hujan peringkat jingga yang dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia berakhir hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak berkata, paling terjejas teruk ialah Bahagian Kuching yang membabitkan 3,963 mangsa diikuti Samarahan (3,585 mangsa), Sibu (421 mangsa) dan Sri Aman (150 mangsa).

Katanya, sebanyak 22 pusat pemindahan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibuka iaitu 11 di Kuching, sembilan di Samarahan, dua di Sibu dan satu di Sri Aman.

Beliau berkata, pada hari ini sahaja, sebanyak empat pusat pemindahan baharu dibuka iaitu di Tadika Kemas Kampung Semilang dan Rumah Persinggahan Banjir Bau di Kuching dan masing-masing satu di Masjid/Perpustakaan Sadong Jaya di Samarahan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Pantu di Sri Aman.

“Jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat pantas berbanding semalam kerana hujan masih belum berhenti sepenuhnya.

“Memang ada beberapa kawasan di Samarahan yang paras airnya semakin menurun tetapi secara keseluruhannya di bahagian itu masih tidak ada banyak perubahan,” katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Mengenai jalan raya yang terjejas pula, beliau berkata, pada masa ini hanya jalan ke Asajaya sahaja tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

“Hubungan darat di kawasan berkenaan masih belum terputus kerana terdapat banyak laluan alternatif yang boleh digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai terus berwaspada dengan paras air banjir kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutamanya pada sebelah petang sewaktu fenomena air pasang besar.

Katanya, jika hujan berterusan, air sungai tidak dapat dialirkan keluar kerana bertembung dengan air laut di kawasan kuala.

“Saya harap semua pihak sentiasa memantau laporan cuaca atau paras air sungai sama ada melalui media ataupun portal banjir MKN dan laman web Jabatan Meteorologi mahupun Jabatan Parit dan Saliran,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments: