Pages

Tuesday, November 8, 2011

Wanita cacat penglihatan cedera dipukul penyamun



SARIPAH Zakaria (kiri) yang menerima lima jahitan di kepala, ditemani anak bongsunya, Saidatulasma ketika dirawat di Hospital Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 7 Nov. - Seorang wanita yang cacat penglihatan terpaksa menerima lima jahitan setelah dipukul di kepala oleh sekumpulan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Sungai Putat, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, suami mangsa turut cedera di kepala sebelum suspek melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai berjumlah RM1,600.

Berikutan itu, mangsa, Saripah Zakaria dirawat di Hospital Jerantut manakala suaminya, Abd. Aziz Mohamad, 45, di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Saripah, kejadian itu berlaku ketika mereka tidur selepas selesai membuat persiapan juadah untuk menyambut Aidiladha.

"Tiba-tiba saya terdengar suara penyamun memberi arahan kepada kami dan suami saya pula cuba mempertahankan diri dan kemudian terus senyap.

"Tiba-tiba kepala saya dihentak dengan benda keras dan terasa darah mengalir ke dahi," katanya kepada pemberita di Hospital Jerantut semalam.

Dia yang cacat penglihatan sejak 14 tahun lalu berkata, kejadian itu turut disedari oleh anaknya, Marziah Abd. Aziz, 17, setelah mendengar penyamun itu lari keluar dari bilik mereka.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dua anak lelakinya tiada di rumah kerana keluar berkawal malam bersama penduduk Kampung Sungai Putat berikutan dua kejadian sama berlaku di situ, bulan lalu.

Sementara itu, Marziah berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi bising sebelum terlihat penyamun itu meloloskan diri mengikut pintu dapur.

"Saya segera menelefon abang selepas kejadian itu manakala jiran membantu menghubungi ambulans untuk membawa ibu bapa saya ke hospital," kata Marziah.

Menurut gadis itu, bapanya dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh dan kemudian dipindahkan ke HKL untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim memberitahu, usaha memburu suspek dijalankan dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan negeri di samping kerjasama serta maklumat penduduk setempat.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

No comments: