Pages

Friday, November 4, 2011

Ular mamba Afrika terlepas




Seekor ular berbisa mamba Afrika berwarna hijau yang menyerupai spesies ular yang terlepas semasa banjir di Thailand. - AGENSI


BANGKOK 3 Nov. - Pegawai veterinar hari ini memburu 15 ekor ular berbisa mamba Afrika yang dilaporkan terlepas dari sangkar di sebuah bangunan di wilayah Nonthaburi ketika bencana banjir.
Pegawai kerajaan semalam dimaklumkan mengenai ular berkenaan melalui mesej yang disampaikan di laman web Twitter, satu kejadian yang tidak dapat disahkan.
''Ia mungkin benar kerana kita tahu terdapat banyak penyeludupan haiwan di Thailand dan mereka tidak berani memaklumkan pihak berkuasa jika ular berkenaan terlepas,'' kata Presiden Persatuan Veterinar Zoo dan Haiwan Liar Thailand, Nanthika Chansue.
Persatuan itu yang bekerjasama dengan Jabatan Pemuliharaan Haiwan Liar, Pokok dan Taman Negara menghantar beberapa pasukan pencari ke daerah Pak Kret, Nonthaburi, 16 kilometer dari barat laut Bangkok sejak semalam.
''Kami tidak pasti sama ada kejadian itu benar tetapi kami perlu melindungi orang ramai.
''Kami juga mengeluarkan amaran memaklumkan ular ini berwarna hijau, sama seperti ular yang biasa dilihat di Thailand tetapi ia lebih besar dan berbahaya. Jika menemui haiwan ini, jauhkan diri,'' kata Chansue.
Beliau berkata, mangsa patukan ular mamba akan mati dalam tempoh 20 minit dan Thailand tidak mempunyai bekalan penawar racun haiwan itu.
Chansue memberitahu, pihaknya dalam beberapa minggu ini menyelamatkan 100 ekor rusa, 30 babi hutan dan 15 harimau selain sejumlah monyet peliharaan yang terkandas dan ditinggalkan pemiliknya ketika banjir. - dpa

No comments: