Pages

Friday, November 18, 2011

Rakyat Kuwait gempur Parlimen

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



DUA lelaki mahu membaling kerusi di Dewan Abdullah al-Salem di Dewan Perhimpunan Kebangsaan Kuwait, kelmarin. - AFP


KUWAIT CITY 17 Nov. - Beribu-ribu rakyat Kuwait menyerbu bangunan Parlimen semalam selepas polis dan pasukan tentera elit memukul penunjuk perasaan yang berarak ke kediaman Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah bagi mendesaknya meletak jawatan.

Penunjuk perasaan memecah masuk pagar bangunan Parlimen dan memasuki ruang utamanya lalu menyanyikan lagu kebangsaan negara.

“Kami kini berada dalam Parlimen,” kata Mussallam al-Barrak yang mengetuai protes tersebut bersama beberapa orang Ahli Parlimen dan aktivis-aktivis remaja yang menyeru pembubaran Parlimen yang didakwa terlibat dengan rasuah.

Kumpulan tersebut meninggalkan bangunan Parlimen beberapa minit kemudian.

Polis sebelum itu menggunakan belantan bagi menghalang penunjuk perasaan yang berteriak berulang-ulang “orang ramai mahu menyingkirkan Perdana Menteri” daripada terus berarak ke kediaman Sheikh Nasser.

Saksi menyatakan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan tercedera dan dirawat di tempat kejadian.

Beberapa aktivis berkata, mereka akan terus berkhemah di luar Parlimen sehingga ketua negara itu disingkirkan.

Ia merupakan kekejaman politik pertama di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu sejak Disember lalu apabila pasukan tentera elit memukul penunjuk perasaan dan beberapa Ahli Parlimen dalam sebuah perhimpunan awam.

Ketegangan semakin menjadi-jadi di Kuwait sejak tiga bulan lalu selepas 16 orang Ahli Parlimen didakwa menerima rasuah bernilai kira-kira AS$350 juta (RM1.1 juta) untuk undian di Parlimen.

Sementara itu, kira-kira 20 Ahli Parlimen pembangkang hari ini memboikot sesi Parlimen sehari selepas kerajaan dan penyokongnya menolak permintaan pembangkang untuk menyoal siasat Perdana Menteri berhubung dakwaan rasuah. – AFP


'via Blog this'

No comments: