Pages

Saturday, September 10, 2011

Jepun beku aset Presiden Syria



Imej dimuat naik daripada YouTube merakamkan apa yang didakwa oleh aktivis anti rejim-Syria sebagai anggota militia pro-kerajaan yang berpakaian tentera menyepak mayat seorang lelaki di bandar Hama pada 5 September lalu. - AFP


TOKYO 9 Sept. - Jepun hari ini membekukan aset milik Presiden Syria, Bashar al-Assad dan individu serta kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengenakan sekatan serupa bagi menggesa negara itu mengadakan pembaharuan demokrasi.
AS, Eropah dan negara kuasa-kuasa Barat mahu Assad menamatkan tindakan kekerasan yang berlarutan selama lima bulan ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi di negara itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 2,000 orang telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat meletus di Syria pada April lalu.
Jepun tidak mengimport minyak mentah dari Syria dan menurut pegawai Kementerian Kewangan, aset Assad dan 14 individu serta enam kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Presiden Syria itu di negara ini yang dibekukan adalah terhad.
"Negara kami perlu menyumbang kepada usaha global untuk menyelesaikan masalah di Syria," lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan Menteri Luar Jepun, Koichiro Gemba dalam mesyuarat Kabinet.
Selain Assad, senarai itu termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan seperti Naib Presiden, Farouk al-Shara dan Menteri Dalam Negeri, Mohammad Ibrahim al-Shaar serta beberapa pertubuhan seperti Perisiskan Tentera Syria dan Dana Pelaburan Al Mashreq. - REUTERS

No comments: