Pages

Thursday, September 8, 2011

Hidup dengan RM30 sebulan


KANAK-KANAK Somalia mendapatkan bantuan makanan di daerah Hodan, selatan Mogadishu baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Jumlah wang sebanyak RM30 mungkin bukan nilai yang terlalu besar bagi sebahagian besar daripada rakyat di negara ini.
Namun, jumlah itu sebenarnya amat berharga di Somalia kerana boleh membiayai makanan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di negara itu untuk tempoh sebulan.
Menurut Timbalan Presiden 1, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Prof. Madya Dr. Mohamed Ikram Mohamed Salleh, bantuan sebanyak RM300 pula membolehkan satu keluarga yang mempunyai seramai lima hingga tujuh orang dapat makan pada tempoh yang sama.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negara ini menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan rakyat negara tersebut melalui tabung bantuan kemanusiaan anjuran Mercy Malaysia.
“Misi pertama yang telah dilakukan pada 25 Ogos lalu merupakan misi penilaian dan pada masa yang sama kita telah berjaya memberikan bantuan makanan kepada 600 keluarga dan kami berharap pada misi kedua nanti kita berharap memberi bantuan kepada 1,000 keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai misi penilaian dan kutipan Tabung Bantuan Somalia di sini semalam.
Mohamed Ikram menjelaskan, misi yang dilakukan pada 25 Ogos lalu dibuat khusus untuk menilai keadaan semasa di negara tersebut, membina rangkaian, memulakan aktiviti bantuan serta mengkaji projek-projek jangka pendek dan panjang.
-kosmo

No comments: