Pages

Thursday, September 15, 2011

Di mana Gaddafi?

TRIPOLI: Saadi, anak Muammar Gaddafi ditahan di ibu negara Nigeria semalam selepas melarikan diri dari Libya.
Bagaimanapun, kedudukan bapanya masih tidak diketahui, kata Nato.

Pakatan berkenaan menegaskan, pemimpin Libya itu bukan menjadi sasaran kempen pengeboman harian mereka. Namun, Nato meningkatkan serangan terhadap saki-baki tenteranya ketika Bank Dunia secara rasmi mengiktiraf pemimpin baru negara itu dan berikrar memainkan peranan utama dalam usaha pembinaan semula selepas perang.

Saadi, 38, ialah anak ketiga daripada tujuh anak lelaki bekas pemimpin Libya itu . Dia bersama-sama 32 pegawai rejim lama, termasuk tiga jeneral kanan, melarikan diri dengan merentas padang pasir ke Niger baru-baru ini.

Anak Gaddafi itu diterbangkan ke Niamey, ibu negara Niger kelmarin dengan helikopter Hercules C-130 dari Agadez, bandar di barat laut negara itu.

Washington menerima jaminan Niger bahawa Saadi, yang mengetuai sebuah unit elit tentera Libya selepas berkecimpung dalam bola sepak profesional di Itali, berada dalam tahanan pasukan keselamatan Niger.


“Apa yang kami faham ialah Saadi kini ditahan di rumah tamu negara,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland. - Reuters “Ia adalah tahanan rumah di kemudahan kerajaan. Itu yang kami faham,” katanya.

Nato berkata, ia tidak tahu mengenai kedudukan Gaddafi yang dikatakan telah meninggalkan negaranya.

Jurucakap pakatan berkenaan, Kolonel Roland Lavoie berkata, ia menerima maklumat bahawa Gaddafi masih di Libya tetapi tempat persembunyiannya tidak diketahui.

“Terus terang, kami tidak tahu sama ada dia sudah meninggalkan negara itu atau tidak,” kata Lavoie kepada wartawan.

Gaddafi tidak muncul di khalayak ramai untuk tempoh yang agak lama. Dia hanya kedengaran menerusi rakaman audio dan ini meningkatkan persoalan mengenai kedudukannya.

No comments: