Pages

Monday, August 15, 2011

Nik Aziz juga tak setuju guna pembesar suara

Umat Islam wajar hormati sensitiviti masyarakat sekeliling

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak bersetuju dengan amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu masyarakat sekitarnya.
Mursyidul Am PAS itu berkata, perbuatan berkenaan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, termasuk membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.
Sekiranya membaca al-Quran melalui pembesar suara sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan. - Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
Katanya, sekiranya perbuatan membaca al-Quran melalui pembesar suara dengan kuat sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan.

“Sekiranya bacaan al-Quran melalui pembesar suara itu menyebabkan rungutan masyarakat terutama yang sakit, lebih baik gunakan wang yang digunakan untuk tenaga elektrik itu (pembesar suara) bagi tujuan dakwah.

“Sebenarnya, apa yang diminta dilaungkan secara kuat ialah azan, manakala qamat serta baca al-Quran terutama ketika sembahyang adalah tidak digalakkan untuk dilaungkan. Namun di Kelantan masyarakatnya seronok mendengar bacaan al-Quran dari-pada pembesar suara,” katanya selepas merasmikan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB), di sini, semalam.

Beliau memberitahu pemberita apabila diminta mengulas mengenai tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum Subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid. 
Di GURUN: BERNAMA melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia berbincang dengan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi menangani isu salah faham fatwa yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan al-Quran sebelum waktu Subuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan meminta JAKIM membincangkan permasalahan itu kerana terdapat perkara yang perlu diselesaikan pada peringkat pentadbiran terlebih dulu.

“Kita minta JAKIM memanjangkan perkara ini untuk diperbincangkan bersama sebab ada perkara yang perlu kita selesaikan pada pentadbiran yang bukan memerlukan kepada muzakarah ataupun fatwa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana bersama Menteri di Surau Kampung Kilang Ketapan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, isu azan itu juga wajar dibahaskan dalam perbincangan Muzakarah Fatwa supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di negara ini. 

No comments: