Pages

Tuesday, August 2, 2011

8 pegawai imigresen bebas ISA


Tiga dibebas semalam, lima lagi dilepas secara berperingkat: Hishammuddin 


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada Oktober lalu secara berperingkat mulai hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiga daripada mereka ditahan antara 10 dan 12 Oktober lalu dibebaskan hari ini, manakala lima lagi dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pembebasan itu dilakukan selepas KDN mendapati mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis, menunjukkan kesedaran dan keinsafan atas kesilapan yang dilakukan serta berjanji untuk tidak mengulanginya.

“Penahanan mereka sebelum ini mengikut ISA dibuat selaras dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini sekali gus membolehkan siasatan lanjut dan menyeluruh dibuat khususnya terhadap kegiatan sindiket penyeludupan warga asing dan urusan keluar dan masuk dari negara ini. 

“Tindakan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk membuktikan kepada masyarakat di negara ini dan antarabangsa bahawa Malaysia amat komited dalam memerangi aktiviti penyeludupan manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Pada masa sama, Hishammuddin mengingatkan pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan pintu masuk negara, agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab penuh amanah. 
“Jangan sesekali bertindak mengkhianati negara ini semata-mata ingin mengejar kemewahan hidup. Tidak ada tolak-ansur ke atas mereka yang mengkhianati amanah negara,” katanya. 

Mengenai pengusiran dua pemimpin serta pengasas kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan seorang anggota Jemaah Islamiah (JI) yang juga ditahan mengikut ISA, beliau berkata ia dilakukan selepas kerajaan berpuas hati dengan hasil siasatan polis. 

Hishammuddin berkata, kes pertama membabitkan rakyat Sri Lanka, M Thirugnanasampandar, 37, yang ditahan pada 12 Jun 2011 di Kuala Lumpur. 

Lelaki terbabit adalah militan LTTE dan paling dikehendaki serta menjadi buruan Kerajaan Sri Lanka. 

“Kes kedua pula membabitkan warga negara Indonesia, Agus Salim, 34, yang juga anggota kanan JI. Dia ditahan pada 6 Jun lalu kerana dipercayai membantu menyeludup keluar seorang pengganas yang amat dikehendaki oleh Kerajaan Singapura iaitu Mas Selamat Kastari yang ketika itu bersembunyi di Johor. 

”Gerak kerja untuk menyeludup keluar Mas Selamat adalah menerusi jalan haram yang didalangi oleh sindiket penyeludupan manusia,” katanya. 

Beliau berkata, Agus pernah ditangkap sebelum ini iaitu pada 1 Mac 2009 dan sudah pun diusir ke Indonesia pada 27 April 2009. 

Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan dan pemantauan yang rapi oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen, Agus menyusup masuk semula ke negara ini pada hujung tahun lalu dengan menggunakan identiti yang baru. 

“Beliau menggunakan pasport Indonesia dengan nama Abdul Halim. Pihak berkuasa berjaya mengesan pergerakan Agus berdasarkan rekod biometrik yang sudah digunakan sepenuhnya,” katanya. 
http://www.bharian.com.m

No comments: