Pages

Monday, July 11, 2011

Penunjuk perasaan halang akses ke pejabat Mesir

SEBAHAGIAN penunjuk perasaan menghalang laluan ke pintu masuk ke sebuah bangunan pemerintah di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Sejumlah penunjuk perasaan membuat halangan di pintu masuk ke pejabat pemerintah Mesir di sini semalam.

Para penunjuk perasaan itu mengancam untuk melanjutkan lagi tempoh halangan tersebut jika pihak berkuasa gagal untuk mempercepatkan proses pembaharuan.

Antara proses pembaharuan yang dituntut daripada pemerintahan ialah mempercepatkan siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan anggota-anggota pihak berkuasa semasa tunjuk perasaan menentang pemerintahan Presiden Hosni Mubarak pada Febraurai lalu.

Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir di sini selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.

Kumpulan tunjuk perasaan itu mahu keadilan selepas hampir 900 orang terbunuh oleh anggota keselamatan dalam tunjuk perasaan menuntut hosni meletakkan jawatan.

Mereka juga menuntut tokoh-tokoh dalam pentadbiran Hosni yang melakukan rasuah dibicarakan dengan segera.

Para penunjuk perasaan itu membuat sekatan di laluan masuk ke pusat pentadbiran utama dekat dengan Dataran Tahrir.

Mereka juga menyebabkan laluan trafik terjejas dan mengancam untuk duduk di bangunan Kementerian Dalam Negeri dan stesen televisyen milik pemerintah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Pada Jumaat lalu, mereka melakukan tunjuk perasaan di Kaherah dan beberapa bandar di seluruh Mesir bagi membantah apa yang dilihat sebagai proses perlahan oleh tentera untuk membersihkan institusi pentadbiran daripada sekutu Hosni. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: