Pages

Tuesday, July 12, 2011

Nahas kereta api ragut 80 nyawa


Reuters SEKUMPULAN pekerja penyelamat semalam mengeluarkan mayat mangsa dari keretapi penumpang yang tergelincir berhampiran bandar Fatehpur, negeri Uttar Pradesh.


FATEHPUR, India - Sebanyak 80 nyawa melayang, manakala lebih 350 lagi cedera semalam dalam kemalangan kereta api antara yang paling dahsyat di India.
Nahas berlaku kelmarin berdekatan bandar ini, negeri Uttar Pradesh di utara India selepas kereta api Kalka Mail yang menuju ke New Delhi, berhenti secara mengejut menyebabkan lebih 12 buah gerabak tergelincir, terbalik dan menindih antara satu sama lain.
Setakat semalam, pasukan penyelamat dan pihak tentera masih bergelut untuk mencari dan mengeluarkan mayat-mayat mangsa di sebalik timbunan gerabak.
"Ini merupakan antara kemalangan kereta api paling buruk di India," kata ketua pegawai perhubungan awam syarikat kereta api North Central Railway sambil menambah, satu siasatan akan dilakukan untuk mengenal pasti punca nahas.
Menurutnya, antara yang terkorban termasuk dua rakyat Sweden.
Rangkaian kereta api India yang dimonopoli kerajaan merupakan sistem pengangkutan utama kepada 1.2 bilion penduduk negara itu. Dianggarkan 18 juta orang menggunakan perkhidmatan berkenaan pada setiap hari.
India memiliki rekod keselamatan perjalanan kereta api yang buruk dengan 336 orang terbunuh dalam nahas kereta api di antara April 2010 hingga Januari 2011. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia

No comments: